Seo Services

Anak Sarawak sambut baik manifesto BN, khususnya hak Sarawak

Rata-rata penduduk Sarawak amat teruja dengan manifesto Barisan Nasional (BN), yang diumumkan Pengerusinya yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua hari lepas, dengan kebanyakan minat mereka tertumpu kepada perkara yang berkaitan dengan janji kerajaan pusat untuk Sarawak.

Antaranya seperti pengembalian hak penyeliaan kawalan elektrik dan gas kepada negeri dan juga pelbagai usaha untuk mengembalikan hak-hak Sarawak mengikut Perjanjian Malaysia 1963 sekiranya ada yang telah terhakis.

Hafiza Hamzah, 24, berkata sebagai penduduk Sarawak beliau melihat aku janji itu akan membawa manfaat yang besar kepada penduduk negeri secara keseluruhannya.

"Ia sangat bagus dan aku janji ini pasti akan memperjuangkan hak rakyat Sarawak," kata jurujual itu.

Manifesto yang berkaitan dengan fokus terhadap wanita dan penambahbaikan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) turut menjadi tarikan utama beliau.

"Sebagai rakyat, saya anggap ia (BR1M) cuma bantuan sementara yang membawa banyak manfaat, membantu, khususnya kepada golongan belia. Kami bukan minta disuap, tetapi peluang mesti disediakan untuk kami bertambah cemerlang," katanya.

Sementara itu Hamid Hoodi, 61 berkata manifesto PRU14 ini adalah amat baik berbanding manifesto PRU13, kerana ia memberi kemudahan kepada setiap lapisan masyarakat baik di peringkat atasan dan bawahan.

"Setiap negeri ada manifestonya sendiri dan Sarawak tidak terkecuali. Manifesto PRU14 ini menjanjikan peluang pekerjaan yang banyak dan janji-janji yang akan dilaksanakan sekiranya BN diberikan mandat," katanya.

Kontraktor binaan itu berkata manfaat bagi mereka yang bukan kakitangan awam seperti beliau, turut tidak dilupakan, contohnya penambahbaikan pemberian BR1M.

Sabu Rosli, 51, yang turut memberikan pandangan sama berkata kerajaan persekutuan ikhlas mahu membangunkan Sarawak, setaraf dengan negeri-negeri lain di Semenanjung.

Pegawai Pembantu Tadbir Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) itu berpandangan apa yang dimaksudkan dengan kembalikan hak Sarawak itu bukan dari segi kekayaan Sarawak semata-mata tapi yang dimaksudkannya adalah dari segi pentadbiran dalam beberapa bidang yang perlu diserahkan kembali kepada Sarawak.

"Manifesto ini juga dilihat berhasrat mensejahterakan rakyat pelbagai kaum, pelbagai golongan dan mengekalkan kecemerlangan yang sedia ada," katanya.

Pegawai Kemas, Osman Jamil, 43, pula berkata manifesto itu merupakan manifesto berjiwa rakyat yang menyerlahkan keprihatinan dan bersifat inklusif, langsung tidak meminggirkan sesiapa.

"Manifesto yang inklusif dan menitikberatkan semua golongan ini memenuhi keperluan masyarakat mengikut peredaran masa dan ia termasuk usaha memperkasakan golongan wanita dan belia," katanya.-- BERNAMA
Anak Sarawak sambut baik manifesto BN, khususnya hak Sarawak Anak Sarawak sambut baik manifesto BN, khususnya hak Sarawak Reviewed by Admin on April 10, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.