KUCHING: Kekayaan produk semulajadi dan warisan di sekitar Kampung Santubong perlu terus diperkenalkan bukan sahaja kepada penduduk tempatan tetapi pelancong asing yang berkunjung ke Sarawak.
Menteri Muda Utiliti Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, penganjuran Santubong Day Festival (SDF) adalah salah satu cara mempopularkan kawasan tersebut supaya terkenal di serata dunia.
Sehubungan itu menurutnya, SDF perlu diangkat dan dipromosikan sama seperti Festival Menuai Dunia (WHF) yang menjadi acara pelancongan terkenal di Sarawak.
"Mengikut sejarah, pertama kali kita adakan SDF apabila Sarawak masih di bawah pentadbiran British dan SDF merupakan festival yang paling popular di negeri ini sebelum wujudnya festival-festival lain yang ada sekarang," katanya ketika berucap pada Malam Pembuka Tirai SDF 2018 di Dewan Kampung Santubong, malam semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, festival tersebut juga tidak sepatutnya diadakan secara bermusim sebaliknya perlu dijadikan sebagai acara ikonik yang berlangsung secara berterusan.
"Saya turut mencadangkan supaya SDF disenarai dalam Kalendar Pelancongan Sarawak bermula tahun hadapan.
"Dengan cara ini sahaja, kita mampu kekalkan sejarah dan warisan negeri Sarawak," ujarnya.
Dr Abdul Rahman menjelaskan, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan kepada SDF supaya menjadi acara tahunan di Sarawak.
"Kita akan sedaya upaya mempertingkatkan momentum ini sekali gus menjadikan SDF program ikonik di Sarawak," jelasnya.
SDF berlangsung dari 11 April hingga 15 Julai dengan pelbagai aktiviti diadakan di Kampung Santubong.-Sarawakiana
Angkat Martabat Santubong Day Festival Supaya Setanding Festival Lain Di Sarawak
Reviewed by Unknown
on
April 16, 2018
Rating:
No comments: