Seo Services

Juri MasterChef Dikutuk Komen Ayam Tak Rangup


BUKAN selalu kita dapat melihat rakyat negara kita bersatu berkaitan sesuatu perkara. Ini kerana setiap orang mempunyai pandangan masing-masing terhadap sesuatu isu yang timbul.

Seringkali sukan dilihat sebagai salah satu elemen yang berjaya menyatukan rakyat Malaysia untuk memberikan sokongan penuh kepada atlet yang berjuang untuk negara.

Kini, dalam konteks yang sedikit berbeza, para netizen di seluruh negara bersatu padu mempertahankan rakyat Malaysia yang dikritik masakannya dalam pertandingan masakan popular, MasterChef UK.

Zaleha Kadir Olpin merupakan salah seorang peserta MasterChef UK telah disingkirkan dalam episod yang disiarkan saluran BBC pada 25 Mac itu kerana menurut juri, ayam rendang yang dihidangkan tidak rangup.

Ketika pusingan kalah mati peringkat suku akhir pertandingan tersebut, para peserta ditugaskan memasak hidangan yang mempunyai signifikan dalam hidup mereka sendiri.

Justeru, bekas akauntan berusia 48 tahun itu memilih untuk memasak juadah kegemaran rakyat Malaysia iaitu Nasi Lemak Ayam Rendang yang turut dihidang bersama sambal udang dan juga ikan bilis.

Mengulas mengenai juadah itu, Zaleha berkata dia memilih untuk membuat nasi lemak disebabkan hidangan tersebut merupakan makanan kegemarannya semasa kecil.

Bagaimanapun, ketika membawa hidangan tersebut ke hadapan untuk diadili kedua-dua juri tersebut, komen yang diberikan John dan Gregg membuat seluruh rakyat Malaysia ‘panas hati’.

Selepas merasa hasil masakan Zaleha itu, Gregg bermula dengan memuji sambal udang dan kesesuaian meletakkan ikan bilis dalam juadah itu sebelum merasa hidangan ayam rendang yang disediakan bersama juadah itu.

“Kulit ayam ini tidak rangup, ianya tidak boleh dimakan,” ujar Gregg yang sebelum itu memuji rasa kuah rendang Zaleha.

Apabila tiba giliran John memberikan komen, dia berpendapat bahawa Zaleha telah silap percaturan meletakkan ayam rendang bersama nasi lemak sambil mengatakan ayam yang dihidangkan sepatutnya lebih lembut dan menjadi rapuh ketika dimakan.

Selepas klip rakaman tersebut tersebar, netizen di laman sosial Twitter dan Instagram menyampaikan rasa tidak puas hati mereka terhadap kedua-dua tukang masak terkenal itu dengan mengatakan mereka perlu menghormati cara masakan tradisi rakyat Malaysia.

Menurut laporan NST Online, Zaleha turut mendapat sokongan cef selebriti terkenal Malaysia iaitu Chef Wan yang mengatakan komen diberikan juri-juri pertandingan itu sebagai tidak berasas.

“Apakah yang cuba dikatakan olehnya? Ini bukan hidangan duck ala orange atau confit d canard; iaitu cara orang Perancis memasak hidangan itik!

“Jelas sekali dia tidak tahu apa yang dikatakannya, kami memasaknya dengan cara rendang Malaysia,” katanya, merujuk kepada komen Gregg mengenai kulit ayam Zaleha yang dikatakan tidak rangup.

Selain itu, Chef Wan turut mencabar juri yang membuat komen bekenaan untuk masak rendang dan cuba menghasilkan kulit ayam yang rangup seperti yang dimahukan oleh mereka.

Zaleha turut meluahkan kekecewaannya selepas disingkirkan akibat hidangan itu di laman Instagram beserta kapsyen yang mengatakan dia tidak akan mengubah cara dia memasak hidangan itu.

Para netizen turut memuji keberanian Zaleha dan memberikan kata-kata semangat kepadanya selepas disingkirkan daripada pertandingan itu.

“Saya rasa juri-juri ini hanya biasa makanan yang lembut dan lembik seperti Fish and Chips. Terus berjuang Zaleha, kesemua rakyat Malaysia berada di belakang anda.” tulis Rahmat Hussain di Instagram.

Tak sepatutnya Zaleha disingkirkan, juri sememangnya tidak tahu apa-apa, rendangnya kelihatan sangat sedap! Tak apa rezeki ada di mana-mana,” tulis seorang lagi pengguna bernama Aimuni Balqis.

“Jika anda datang Malaysia dan beritahu mak cik-mak cik di sini ayam rendang perlu rangup, anda pasti akan kena tampar,” kata seorang netizen dengan nama pengguna DL.

Zaleha yang berasal dari Kuantan, Pahang kini menetap di Bristol, United Kingdom bersama suami dan dua anak perempuan mereka. – MYNEWSHUB.CC/EZ
Juri MasterChef Dikutuk Komen Ayam Tak Rangup Juri MasterChef Dikutuk Komen Ayam Tak Rangup Reviewed by Unknown on April 03, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.