Seo Services

Majikan Tak Wajib Beri Cuti


Majikan perlu memberi waktu yang munasabah kepada pekerja bagi memastikan mereka dapat keluar mengundi pada 9 Mei ini.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan juga tidak diwajibkan untuk memberi cuti khas sehari kepada pekerja masing-masing bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab berkenaan.

Kata beliau, majikan mempunyai tanggungjawab untuk tidak menghalang pekerja mereka sebagai pengundi berdaftar untuk mengundi pada hari berkenaan meskipun Pilihan Raya Umum ke -14 (PRU-14) kali ini diadakan pada hari bekerja.

"Sebaliknya tempoh masa bersesuaian dan munasabah antara satu hingga dua jam boleh diberikan contohnya masuk pejabat lewat sedikit untuk mengundi pada sebelah pagi, menggunakan waktu rehat atau pulang awal dari pejabat sebelum pusat pengundian ditutup.

"Mana-mana majikan yang secara langsung atau tidak langsung enggan membenarkan pekerjanya keluar mengundi, boleh apabila disabitkan, didenda sebanyak RM5,000 atau dipenjara selama setahun sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

"Selain itu, majikan juga tidak boleh membuat apa-apa potongan daripada gaji atau saraan pemilih, mengenakan atau menuntut daripadanya apa-apa penalti kerana tidak hadir bekerja dalam tempoh munasabah yang diberikan berkenaan," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Shamsuddin berkata, masalah lokasi pengundian jauh di negeri asal bukanlah bebanan di pihak majikan kerana sebagai pengundi yang bertanggungjawab, pekerja seharusnya mengemas kini lokasi tempat pengundian berdasarkan alamat tempat tinggal terkini.

Katanya, masalah biasanya timbul sekiranya pengundi masih mengekalkan alamat kampung halaman masing-masing meskipun sudah berpuluh-puluh tahun menetap di tempat lain.

"Dalam hal ini, pekerja perlu sedar bahawa sekiranya dua jam pelepasan diberikan, syarikat sudah pun kehilangan kira-kira 25 peratus produktiviti kerja.

"Namun, jika majikan dapat memberi kelonggaran, pekerja boleh mengambil cuti tahunan masing-masing untuk membolehkan mereka mengundi dengan selesa tanpa perlu mengejar masa kembali ke pejabat," katanya.-myMetro
Majikan Tak Wajib Beri Cuti Majikan Tak Wajib Beri Cuti Reviewed by Unknown on April 10, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.