Seo Services

Rosmah Tinjau Pembinaan Hospital Kanak-Kanak


KUALA LUMPUR – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini meluangkan masa untuk melihat lebih dekat perkembangan projek Hospital Kanak-Kanak PERMATA Universiti Kebangsaan Malaysia (HKKP UKM) di Cheras.

Rosmah yang merupakan penaung program PERMATA Negara (PERMATA) meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk meninjau dan mendengar taklimat mengenai perkembangan projek berkenaan yang dijangka beroperasi sepenuhnya Julai tahun depan.

Beliau yang juga penaung hospital berkenaan turut diberi penghormatan memilih reka bentuk luaran dan dalaman HKKP UKM berdasarkan warna dan reka bentuk yang digemari beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Projek HKKP UKM Datuk Dr A Rahman A Jamal, ketika ditemui pemberita berkata hospital itu kini hampir 70 peratus siap dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada 1 Julai 2019.

“Hospital yang berkonsep mesra kanak-kanak dan pertama berpusatkan keluarga ini dijangka akan mengurangkan kesesakan di wad pediatrik hospital lain dan memberikan kemudahan pantas dan selesa kepada pesakit,” katanya selepas mengiringi Rosmah melawat tapak projek pembinaan hospital itu, di sini hari ini.

Dr A Rahman berkata berdasarkan rekod, kira-kira 20,000 kanak-kanak mendapat rawatan sebagai pesakit luar dan 7,000 di wad di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Hospital Besar Kuala Lumpur setahun.

Katanya HKKP UKM yang akan mempunyai 250 katil akan mengaplikasikan konsep Hospital Pintar iaitu ‘hospital tanpa kertas’, kios pendaftaran kendiri dan pendaftaran melalui telefon pintar.

Hospital tersebut juga akan muncul sebagai hospital yang mempunyai pusat rujukan dan penyelidikan penyakit kanak-kanak.

Pembinaan hospital moden dan berteknologi tinggi bernilai RM606 juta itu telah diluluskan oleh Kabinet pada 2010 di bawah inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi pembinaan hospital berkenaan pada 2013. – BERNAMA
Rosmah Tinjau Pembinaan Hospital Kanak-Kanak Rosmah Tinjau Pembinaan Hospital Kanak-Kanak Reviewed by uMieySurianie on April 10, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.