Seo Services

Manifesto BN Turut Beri Tumpuan Sarawak & Sabah


MIRI – Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan dilancarkan pada 7 April ini akan turut memberi tumpuan khusus kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, manifesto tersebut akan membuktikan komitmen BN untuk meneruskan agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Manifesto BN yang akan dilancarkan pada 7 April ini ada beberapa perkara khusus untuk Sarawak dan Sabah,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan seminar Pembangunan dan Kepimpinan Ketua Masyarakat peringkat Negeri Sarawak 2018 (Bahagian Miri, Bintulu dan Limbang) di sini hari ini.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, komitmen terhadap program pembangunan di Sarawak dibuktikan dengan 60 siri lawatan ke 160 tempat di Sarawak sepanjang sembilan tahun menjadi perdana menteri.

“Sepanjang melakukan tinjauan mesra, sebanyak RM4.3 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai projek di Sarawak,” katanya .

Perdana Menteri juga menafikan tuduhan individu tertentu yang mendakwa punca Sarawak tidak maju adalah kerana sikap rakyat Sarawak yang malas dan tamak.

“Saya tak pernah mengeluarkan apa-apa perkataan yang mengguris perasaan orang Sarawak, saya tak pernah kata orang Sarawak malas dan tamak sebab saya tahu rakyat Sarawak bukan malas dan tamak,” katanya.

Menurutnya, kerajaan persekutuan sekarang tidak pernah memandang rendah kepada kemampuan rakyat Sarawak dan ini dibuktikan melalui pemberian kontrak kepada kontraktor Sarawak bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Beliau berkata, setakat ini kerajaan persekutuan amat berpuas hati dengan kelancaran pelaksanaan projek tersebut sekali gus membuktikan rakyat Sarawak mampu melaksanakan projek-projek besar.

Menurut perdana menteri, jika sesuatu negeri tidak maju, maka adalah menjadi tanggungjawab pemimpin untuk merapatkan jurang pembangunan sejajar dengan negeri-negeri lain dengan memberi peruntukan yang banyak kepada negeri yang amat memerlukan pembangunan.

Perdana Menteri yakin Sarawak akan tetap menjadi kubu kuat BN berdasarkan rekod-rekod pencapaian pada pilihan raya umum yang lepas.

Beliau juga mahu kerusi yang dimenangi oleh pembangkang di Sarawak dirampas semula oleh BN terutama sekali kerusi Parlimen Miri.

“Saya nak Parlimen Miri kembali ke BN,” katanya disambut dengan tepukan gemuruh peserta yang hadir.

Timbalan Ketua Menteri yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, lawatan Najib hari ini adalah yang ke-60 ke Sarawak membuktikan komitmen Perdana Menteri dalam pembangunan Sarawak berbanding dengan bekas perdana menteri sebelum ini.

Turut hadir di majlis itu ialah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Seramai 1,500 orang peserta terdiri daripada ketua kaum,masyarakat dan kampung menyertai seminar dua hari itu.-BERNAMA
Manifesto BN Turut Beri Tumpuan Sarawak & Sabah Manifesto BN Turut Beri Tumpuan Sarawak & Sabah Reviewed by uMieySurianie on April 04, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.