KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa masa depan negara ini perlu ditentukan oleh rakyat berdasarkan kepada fakta dan bukannya janji palsu, propaganda serta ilusi.
Perdana Menteri menjelaskan, disebabkan itu, kerajaan pimpinan beliau telah meluluskan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 bagi menentang ancaman-ancaman tersebut.
Beliau berkata, melindungi rakyat Malaysia juga meliputi aspek ancaman bencana berita palsu.
“Berita palsu ini sudah tentu memberi ancaman kepada keselamatan dan kita telah melihat contoh di serata dunia, bertentangan dengan prinsip Zon Aman Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN). Berita palsu telah menjadi alat kepada campur tangan kuasa asing. Peliknya sesetengah kepemimpinan pembangkang hari ini mengalu-alukannya.
“Sebagai rakyat yang patriotik, saya boleh memberitahu bahawa kerajaan pimpinan saya tidak mahukannya. Kami tidak berkompromi soal kedaulatan negara dengan membenarkan negara atau individu dari luar memberitahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam Forum Putrajaya 2018 bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2018 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia ( Natsec) 2018 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Timbalannya, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Menyentuh isu etnik Rohingya, Perdana Menteri menzahirkan kebimbangan elemen militan akan menyerap masuk ke dalam komuniti itu sekiranya situasi mereka tidak ditangani dengan betul.
“Kita mengakui yang kerajaan Myanmar sudah mengambil langkah-langkah untuk menangani krisis ini, bagaimanapun lebih banyak usaha perlu dibuat.
“Punca asal isu ini mesti ditangani segera dan kami menyeru kerajaan Myanmar supaya memastikan pelarian ini pulang ke rumah mereka dengan selamat,” jelasnya.
Mengenai penularan ideologi militan Daesh di negara ini, Perdana Menteri bersyukur kerana setakat ke hari ini hanya satu serangan berkaitan kumpulan berkenaan dilaporkan, namun menegaskan pihak berkuasa perlu sentiasa berjaga-jaga.
Hal ini kerana kata beliau, sejak tahun 2013 hingga hari ini, 389 individu telah ditahan di negara ini kerana aktiviti berkaitan Daesh.
“Bagaimanapun, saya yakin pasukan polis dan pertahanan kita mempunyai semua kelengkapan diperlukan untuk memerangi kumpulan militan itu yang boleh membawa kemusnahan kepada tanah air,” ujar beliau.- Utusan Online
Masa Depan Negara Berdasar Fakta
Reviewed by uMieySurianie
on
April 17, 2018
Rating:
No comments: