Seo Services

Sarawak manfaatkan teknologi memuncul untuk perkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui

KUCHING, 10 April (Bernama) -- Sarawak mengambil langkah awal memanfaatkan teknologi memuncul bagi memperkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata usaha ini termasuk melakukan ujian terhadap penggunaan aplikasi sel bahan bakar hidrogen dalam sektor pengangkutan, pendigitalan tenaga elektrik, meningkatkan pelaksanaan transformasi dan menjadi contoh di peringkat global dalam penyediaan bekalan elektrik ke kawasan luar bandar melalui penggunaan tenaga bersih.

"Sebagai contoh, dalam tempoh tiga tahun akan datang, landskap pengangkutan awam di Sarawak akan mengalami transformasi ke arah lebih baik melalui penggunaan bas yang menggunakan kuasa elektrik.

"Langkah paling penting ialah meluaskan kategori bas ini kepada yang menggunakan tenaga hidrogen, sekali gus menjadikan Kuching bandar raya pertama di negara ini yang mempunyai bas seperti itu sebagai projek perintis," katanya ketika merasmikan Sidang Kemuncak Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (ISES) 2018 di sini hari ini.

Sidang kemuncak kali keempat itu dianjurkan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Boleh Diperbaharui (SEDA) Malaysia dan Kementerian Utiliti Sarawak serta dihoskan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kerajaan Negeri Sarawak.

Menjelaskan usaha yang diambil bagi memudahkan proses peralihan tenaga di negeri ini, Abang Johari berkata Sarawak mendahului negeri lain di Malaysia apabila mempunyai hampir 75 peratus sumber boleh diperbaharui dalam tiga campuran kuasa elektrik, pengurangan pelepasan karbon daripada penjanaan kuasa sebanyak 72 peratus dan mempunyai tarif tenaga elektrik paling rendah.

Katanya, Skim Elektrifikasi Pedalaman Alternatif Sarawak (SARES) yang dilaksanakan kerajaan menerima Alliance for Rural Electrification Award pada Sidang Kemuncak Pelaburan Akses Tenaga ARE keempat di Catania, Sicily.

Beliau berkata Sarawak juga merancang untuk meningkatkan ketersambungan dengan mewujudkan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya Kuching, yang akan menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar.

"Sekiranya ini didapati berdaya maju, satu sistem pengangkutan bersepadu terdiri daripada pemilihan laluan pintar, pengurusan aset digital, lampu isyarat dan tempat letak kereta pintar, papan tanda maklumat digital dan sistem maklumat bagi pengangkutan awam akan dilaksanakan untuk menjamin keselesaan dan keselamatan pergerakan penumpang," kata beliau.

Abang Johari berkata, dalam usaha membentuk masa depan digital bagi Sarawak, negeri ini melaksanakan Transformasi Ekonomi Digital Sarawak melalui penggubalan Strategi Ekonomi Digital Sarawak bagi tempoh lima tahun iaitu dari 2018 hingga 2022.

"Kerajaan negeri juga sedang giat berusaha untuk mewujudkan dasar bagi menyokong agenda ekonomi tenaga hijau dan satu daripadaya adalah untuk menyokong pelaksanaan Indeks Bangunan Hijau di bangunan baharu kerajaan dan bangunan swasta bukan untuk tujuan kediaman di bandar raya dan bandar utama Sarawak," katanya. --BERNAMA
Sarawak manfaatkan teknologi memuncul untuk perkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui Sarawak manfaatkan teknologi memuncul untuk perkukuh agenda tenaga boleh diperbaharui Reviewed by Admin on April 10, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.