KUCHING, 3 Okt (Bernama) – Sebelas individu termasuk sembilan wanita, diberkas hari ini dalam satu serbuan polis dengan kerjasama Sarawak Energy Berhad (SEB) di sekitar daerah Kuching dan Padawan berhubung aktiviti perjudian haram.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, serbuan itu, yang disertai lima pegawai polis, turut merampas wang tunai berjumlah RM893 dan 10 telefon bimbit.
Beliau berkata, mereka yang diberkas berumur antara 19 hingga 32 tahun, sedang disiasat di bawah Akta .Rumah Judi Terbuka 1953, dan menambah ia operasi yang berterusan bagi membasmi aktiviti perjudian terutama 4D haram dan perjudian dalam talian.
“Polis menjalankan usaha bersama dengan SEB kerana premis yang digunakan untuk aktiviti perjudian ini terus beroperasi.
"Dengan bekalan elektrik dihentikan oleh SEB, kita yakin aktiviti haram itu akan dapat dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.
Leong berkata, polis akan terus mengawasi premis-premis, yang bekalan elektrik diputuskan oleh SEB, yang dilakukan mengikut seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Operasi hari ini melibatkan 12 premis di Pusat Komersial Kenyalang, MJC Batu Kawa, Hui Sing Garden dan kawasan Matang di sini. -- BERNAMA
11 diberkas terlibat perjudian haram di Kuching dan Pedawan
Reviewed by Admin
on
October 03, 2018
Rating:

No comments: