KUCHING: Tindakan memperketatkan had umur penjualan alkohol dari 18 tahun, kepada 21 tahun ke atas yang berkuatkuasa semalam merupakan satu langkah yang baik, kata Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah.
“Ini adalah perkara yang positif kerana kita sudah melihat bahawa antara perkara yang menyebabkan masalah sosial ialah penyalahgunaan dadah dan minum alkohol.
“Ia bukan sahaja memudaratkan diri sendiri tetapi juga menimbulkan kesusahan kepada orang lain,” katanya ketika ditemu-bual selepas menyempurnakan penutupan Program Kesihatan Mental ‘Heal Your Inner Self’ di sebuah hotel di sini, hari ini.
Menurut Fatimah, langkah meningkatkan had umur itu juga bertepatan kerana usia 18 tahun masih dikira sebagai remaja atau di peringkat persekolahan, di mana ia tidak wajar dibenarkan untuk membeli atau minum alkohol.
“Jadi menetapkan had umur kepada 21 tahun ke atas adalah lebih munasabah kerana usia ini sudah mencapai tahap dewasa,” ujarnya.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilaporkan memperketatkan had umur penjualan alkohol dari 18 tahun ke 21 tahun ke atas berkuatkuasa semalam.
Menteri Kesihatan,Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pindaan peraturan tersebut terdiri daripada pindaan ke atas peraturan 361 mengenai standard am bagi minuman beralkohol yang sedia ada.
"Melarang penjualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun berbanding dengan 18 tahun sebelum ini.
"Semua penjual minuman beralkohol diwajibkan untuk mempamerkan notis “Meminum Arak Boleh Membahayakan Kesihatan" di hadapan lokasi di mana minuman beralkohol dijual dan tanda larangan jualan minuman beralkohol kepada mereka yang berumur kurang daripada 21 tahun di kaunter jualan minuman beralkohol," katanya yang dipetik sebagai berkata. - UTUSAN BORNEO
Larangan penjualan alkohol kepada bawah 21 tahun tindakan wajar
Reviewed by Admin
on
October 17, 2018
Rating:

No comments: