MIRI, 4 Okt (Bernama) -- Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pusat Miri di sini hari ini susulan penemuan beberapa bangkai anjing di dalam longkang di sebuah tapak pelupusan sampah di Kuala Baram di sini semalam.
Anggota Dewan Undangan Negeri Pujut, Dr Ting Tiong Choon berkata beliau membuat laporan polis selepas melawat kawasan berkenaan kira-kira pukul 3.00 petang semalam, setelah menerima maklumat daripada orang ramai mengenai penemuan yang mengerikan itu pada Selasa.
Katanya, semasa melawat sekitar Stesen Menimbang di kawasan itu, beliau melihat ada 32 ekor anjing dikurung di kawasan berhampiran, dan selepas diperiksa beliau menemui bangkai beberapa ekor anjing dibuang ke dalam longkang di hadapan tempat kurungan, yang dipercayai telah berada di situ sejak beberapa minggu lepas.
“Saya minta polis siasat sama ada Majlis Bandaraya Miri atau wakil mereka melakukan kekejaman terhadap haiwan susulan penemuan ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan polis di sini hari ini.
“Pada masa yang sama, dengan merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Bandar semalam bahawa 1,470 anjing ditangkap sejak Julai 2017 oleh Majlis Bandaraya Miri, saya minta pihak polis menyiasat sekiranya anjing-anjing itu dilupus dengan cara yang selaras dengan peruntukan undang-undang,” tambahnya.
-- BERNAMA
Wakil rakyat DAP minta polis siasat dakwaan kekejaman terhadap haiwan
Reviewed by Admin
on
October 04, 2018
Rating:

No comments: