Seo Services

Cadangan pelajar guna kolam renang hotel tidak praktikal di Sarawak


KUCHING: Cadangan Kementerian Pendidikan untuk membenarkan pelajar menggunakan kolam renang di hotel bagi menjalani aktiviti renang sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) hotel tidak praktikal untuk dilaksanakan di Sarawak.

Perkara itu ditegaskan Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Dato Sri Michael Manyin Jawong ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penghargaan Kecemerlangan Inovasi Pelajar di Pustaka Negeri Sarawak di sini semalam.

Beliau memberitahu, Sarawak mempunyai 1,457 sekolah dan kebanyakannya terletak di pedalaman yang jauh dari bandar.

“Apa yang kita maklum ia tidak mungkin untuk dilaksanakan kerana kita tidak mempunyai banyak hotel yang ada kolam termasuk kolam renang awam di negeri ini.

“Malah, kita mempunyai 1,457 sekolah dan kebanyakannya berada di pedalaman, jadi bagaimana pihak sekolah hendak melakukan perkara ini?” soalnya.

Tegas Manyin lagi, pihak hotel juga tidak akan membenarkan orang bukan tetamu mereka menggunakan kolam di hotel berkenaan.

Tambahnya, jika pelajar dibenarkan menggunakan kolam renang di hotel, ia memberi keadaan yang tidak selesa kepada tetamu hotel berkenaan.

“Justeru, cadangan ini tidak praktikal dilaksanakan ketika ini di Sarawak,” katanya.

Selain itu, walaupun ia di bawah CSR, faktor keselamatan pelajar ketika menjalankan aktiviti renang juga harus dititikberatkan.

“Siapa yang akan menjadi pemantau keselamatan (lifeguard) ketika pelajar ini menjalankan aktiviti renang di kolam nanti, adakah pihak sekolah atau pihak hotel,” tegasnya.

Pada masa sama beliau memberitahu, jarak sekolah luar bandar juga menjadi faktor dan pastinya akan memerlukan kos perbelanjaan untuk melaksanakan aktiviti tersebut.

Terdahulu dalam ucapannya, Manyin berkata, kementeriannya amat menggalakkan inovasi dalam kalangan pelajar bagi melahirkan tenaga kerja kreatif dan inovatif yang mampu mengeksploitasi teknologi baharu.

“Kita harus kreatif dan inovatif bagi memberi tambah nilai kepada sumber yang kita ada sekali gus melonjakkan nilai produk dan perkhidmatan yang kita tawarkan untuk mengembangkan ekonomi.

“Seperti di negara maju Singapura, Finland, Korea Selatan dan Jepun, kejayaan mereka bukan terletak pada kekayaan sumber asli mereka tetapi kekuatan ekosistem inovasi yang mereka bangunkan,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, bagi mewujudkan persekitaran kreatif dan inovasi di Sarawak, Kerajaan Sarawak menubuhkan kemudahan seperti Pusat Inovasi Sarikei, TEGAS Digital Hub, Kampung Digital TEGAS, Inkubator termasuk cadangan menyediakan ‘Tinkering Labs’ di sekolah di negeri ini.

“Selain itu, kita bekerjasama dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk menganjurkan Eksposisi Rekaan, Ciptaan dan Inovasi Sarawak (SIIDEx) secara tahunan,” tambahnya.

Sebanyak sembilan sekolah rendah dan menengah yang menang pada Pertandingan Inovatif Peringkat Nasional menerima anugerah penghargaan masing-masing.

Antara sekolah yang menang adalah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tung Hua, Sekolah Menengah (SMK) Chung Hua, Tunku Putra School, SMK Lutong, Lodge International School, Sekolah Kebangsaan Temang, SMK Bandar Kuching Nombor Satu, SJKC Chung Hua Nombor Satu, SMK Lutong, SMK Tun Abdul Razak dan SMK Jalan Arang. - UTUSAN BORNEO
Cadangan pelajar guna kolam renang hotel tidak praktikal di Sarawak Cadangan pelajar guna kolam renang hotel tidak praktikal di Sarawak Reviewed by Admin on November 23, 2018 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.