![]() |
Foto Utusan Borneo |
JULAU: Seorang lelaki tempatan yang menjadi punca berlaku kekecohan semasa pemilihan PKR bagi Cabang Julau di Kompleks Sukan Julau, di sini hari ini, berkata beliau hanya menunaikan tugas yang diamanahkan kepadanya oleh ibu pejabat parti itu.
Wong Hong Yu, yang merupakan calon bagi jawatan timbalan pengerusi cabang berkenaan, berkata beliau didatangi beberapa lelaki yang menegur perbuatannya menyemak kesahihan keanggotaan dan identiti pengundi di pusat pengundian itu.
"Saya hanya menyemak kesahihan keanggotaan pengundi apabila beberapa lelaki berbaju hitam mempersoalkan apa yang saya lakukan itu.
"Mereka bertanya siapa saya dan saya bertanya balik siapa mereka. Mereka memberitahu saya mereka dari Ibu Pejabat dan saya kata saya dari Julau," katanya kepada pemberita dan menambah bahawa kumpulan lelaki berkenaan menghalaunya dengan memberi alasan tiada sebab baginya untuk berada di situ.
Wong juga berkata beliau dituduh mengubah senarai calon bagi mengelirukan pemilih, tetapi menafikan perkara itu.
Menurut Wong, apabila beliau memaklumkan kejadian itu kepada anggota polis, beliau diberitahu bahawa pihak polis tidak boleh berbuat apa-apa kerana urusan keselamatan di pusat pemilihan berkenaan dikendalikan petugas keselamatan parti itu.
Wong bertanding menentang Arim Bandok bagi jawatan timbalan pengerusi cabang itu.
Penyandang jawatan pengerusi, Semana Sawang, ditentang oleh Larry Sng. -- Bernama
Kekecohan tercetus di Pusat Pemilihan PKR cabang Julau akibat salah sangka
Reviewed by Admin
on
November 10, 2018
Rating:

No comments: