Presiden Korea Selatan, Park Geun-hye mendakwa kecuaian kapten dan anak kapal feri Sewol yang karam di kawasan perairan selatan negara ini tidak dapat diterima dan tindakan mereka sama seperti membunuh.
Kenyataan itu dibuat beliau berikutan penahanan empat lagi anak kapal feri yang membawa 476 penumpang tersebut yang karam dan tenggelam Rabu lalu.
"Tindakan kapten serta beberapa anak kapal sama sekali tidak boleh diterima dan sama seperti membunuh.
"Seluruh rakyat Korea Selatan berasa terkejut dan marah ekoran kecuaian yang berlaku," tegas beliau dalam satu mesyuarat bersama pasukan keselamatan hari ini.
Feri Sewol karam di perairan sedalam 27 meter ketika dalam perjalanan dari Incheon ke Pulau Jeju.
Kapten feri, Lee Joon-seok dan dua anak kapal yang bertanggungjawab telah ditahan kelmarin bagi membantu siasatan punca kemalangan itu.
Sehingga kini, angka korban meningkat kepada 87 orang hari ini, manakala 220 penumpang lain masih hilang.
Dalam perkembangan baharu, Pengawal Pantai Korea Selatan mengeluarkan transkrip perbualan antara pusat pengawal kapal dan feri sebelum tragedi itu berlaku.
Menurut transkrip tersebut, pusat itu memberitahu Jeon-seok untuk memutuskan langkah terbaik bagi mengeluarkan penumpang serta mengingatkannya sama ada penumpang perlu diselamatkan atau tidak.
Namun, Joon-seok dipercayai tidak berada di dek ketika feri tersebut membuat pusingan.
Transkrip itu juga menunjukkan anak kapal feri itu berasa bimbang tentang jumlah bot penyelamat yang tidak mencukupi, manakala saksi memberitahu, kapten dan beberapa anak kapal menyelamatkan diri menggunakan bot sekali gus meninggalkan penumpang lain.
Menurut agensi berita Yonhap, pasukan menyelamat hari ini cuba memasuki bahagian dewan makan feri tersebut dalam usaha mencari mangsa yang hilang.
Ini berikutan kebanyakan penumpang dipercayai berkumpul di dewan terbabit selain ruang istirehat serta ruang beli-belah ketika kejadian itu berlaku.
No comments: