Kuching - Percutian ekspedisi 12 bekas pelajar Kolej Tunku Abdul Rahman (TAR) Kuala Lumpur berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka mengalami sesak nafas dan meninggal dunia, kelmarin.
Mangsa, Low Xie Yann, 20, berasal dari Taman Bukit Permata, Selangor, dikatakan pengsan selepas mengalami sesak nafas ketika menuruni Bukit Timah di Taman Negara Bako kira-kira jam 4.30 petang, kelmarin.
Polis menerima laporan daripada bapa salah seorang peserta yang menghubunginya untuk memaklumkan seorang daripada ahli rombongan telah pengsan dan memohon bantuan bagi membawanya keluar.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad berkata, sebaik menerima laporan itu, Sembilan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), bersama lima renjer Taman Negara Bako dikejarkan ke tempat kejadian untuk memberi bantuan
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati sudah meninggal dunia menyebabkan pasukan penyelamat terpaksa meminta bantuan bomba untuk membawa semua mangsa keluar dari kawasan itu.
“Mayat berjaya dibawa keluar dibawa ke rumah mayat Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
“Hasil siasatan awal melalui temu bual dengan rakan-rakan si mati mendapati si mati mempunyai masalah tekanan darah rendah dan berat badan 110 kilogram,” katanya.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Keluarga mangsa yang dimaklumkan mengenai insiden itu tiba di Kuching petang semalam untuk menuntut mayat gadis berkenaan bagi dikebumikan.
No comments: