SAMARAHAN: Siang bertudung malam berubah 100% dari hukum syariah...
Demikian gelagat segelintir gadis berstatus penuntut pusat pengajian yang bukan berasal dari daerah ini untuk mencari wang tambahan dengan bekerja sambilan sebagai teman penghibur.
Walaupun tidak berada di bandar raya besar seperti Kuala Lumpur atau Johor Bahru, tetapi mereka bijak mencari peluang demi memperoleh wang saku bagi menampung kos perbelanjaan harian sebagai pelajar.
Difahamkan, mereka bergerak aktif bermula jam 10 malam dan bertemu dengan lelaki yang sudah terlebih dahulu membuat temu janji di lokasi ditetapkan iaitu hanya di sekitar daerah ini.
Pelajar itu didapati menetapkan bayaran tertentu iaitu sekitar RM50 hingga RM150 dan boleh dibawa ke pusat hiburan dan pusat karaoke sebagai teman penghibur.
Namun, mereka menolak untuk dibawa ke ranjang walaupun ditawarkan bayaran lumayan.
Pada mulanya mereka enggan bekerjasama apalagi mendedahkan identiti kerana bimbang aktiviti terbongkar kepada pengetahuan keluarga.
Selepas dipujuk akhirnya beberapa wanita itu akur dan mendedahkan diri mereka adalah penuntut pusat pengajian.
Penuntut terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ika, 20, berkata, keluarga memberinya duit saku RM200 sebulan saja dan jumlah itu ditambah dengan wang pinjaman.
“Jumlah itu memang tidak mencukupi bagi menampung kos belajar dan belanja harian menyebabkan saya terpaksa memikir jalan lain bagi mendapatkan wang.
“Saya mula aktif keluar pada waktu malam sejak setahun lalu dan memperoleh kira-kira RM1,000 sebulan,” katanya.
Ika berkata, dia hanya mengambil upah menemani lelaki di pusat hiburan atau karaoke dan enggan sama sekali dibawa ke ranjang.
“Jika mereka suruh saya menyanyi atau menari saya akan lakukan, tetapi hanya setakat itu.
“Selepas dibayar dan selesai menemani mereka saya dan beberapa lagi rakan akan pulang ke rumah sewa kerana perlu berehat untuk pergi kuliah keesokan hari,” katanya.
Seorang lagi penuntut yang juga kenalan Ika dikenali sebagai Yana, 19, berkata dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti itu selepas diperkenalkan rakan-rakannya.
“Saya berani untuk turut serta dan melakukannya kerana ia tidak sampai hingga menggadai maruah saya.
“Kebiasaannya kami akan berkenalan dengan lelaki itu melalui laman sosial atau diperkenalkan daripada kenalan lain.
“Ada juga pelanggan kami daripada golongan berjawatan yang datang ke daerah ini atas urusan kerja,” katanya.
Menurut Yana, dia akan memberi amaran terlebih dulu kepada lelaki terbabit supaya tidak melakukan perkara di luar batasan.
“Tetapi, ada juga lelaki yang memeluk dan mencium saya ketika sedang berhibur, namun setakat itu saja.
“Saya lakukan ini semua hanya kerana wang dan setakat ini ia tidak mengganggu pelajaran,” katanya.
(gambar hiasan)
No comments: