KUCHING: Dewan Undangan Negeri Sarawak hari ini meluluskan usul untuk memohon Kerajaan Persekutuan menambah kadar bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini daripada 5 peratus sekarang kepada 20 peratus.
Usul tersebut dibentang oleh Abdullah Hj Saidol (BN-Semop) dan mendapat sokongan sebulat suara daripada 68 anggota dewan yang hadir.
Usul yang dibentangkan adalah selaras dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem sebelum ini yang mahu kerajaan persekutuan mengkaji semula kadar royalti yang diterima negeri Sarawak.
Ketika membentangkan usul tersebut, Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan negeri ini mendapat hasil tambahan untuk disalurkan secara khusus bagi melaksanakan pembangunan luar bandar.
"Sudah tentu Kerajaan Persekutuan akan mendengar dan menerima permohonan kami ini kerana kami, sebagai Barisan Nasional Negeri, adalah rakan akrab mereka, yang mempunyai wakil majoriti dalam kerajaan yang memerintah sekarang," katanya.
Abdullah berkata beliau sedar permohonan penambahan kadar royalti itu memerlukan semakan semula dibuat terhadap undang-undang dan perjanjian tertentu antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan Sarawak mempercepatkan rentak pembangunannya agar setanding dengan tempat lain yang sudah maju di Semenanjung.
Katanya untuk mencapai tujuan itu, kewujudan dana lebih besar sahaja tidak memadai kerana ia juga memerlukan negeri ini berada dalam keadaan aman dan stabil.
"Tiada gunanya bercakap tentang royalti jika tidak ada kesetiaan dalam kalangan rakyat kita terhadap makna sebenar keamanan dan semangat bersatu-padu," katanya
Sehubungan itu, rata-rata pemerhati menganggap satu sejarah baru tercipta di Dewan Undangan Negeri Sarawak dimana usul berkenaan turut mendapat sokongan tidak berbelahbagi dari wakil-wakil pembangkang. - SARAWAKIANA
berapa banyak ringgit malaysia sekarang jika 20% diminta
ReplyDelete