Seo Services

Isteri Wong Ho Leng Hargai Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri

SIBU, 2 Mei (Bernama) -- Isteri bekas Pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem kerana bersetuju membantu menanggung sebahagian kos perubatannya di Singapura akibat barah otak sejak 12 Jan lepas.

Irene Chang berkata beliau dan keluarganya menghargai budi baik Pengerusi DAP negeri Chong Chien Jen, yang juga Anggota Parlimen Kuching, kerana membantu keluarganya memohon bantuan kewangan daripada kerajaan negeri.

Bercakap pada sidang media di sini Jumaat, beliau berkata suaminya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, telah pulang dari Singapura dan kini dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan Rajang di sini.

"Beliau masih tidak sedar tetapi agak responsif setiap kali saya bercakap dengannya. Kami yakin dengan pertolongan Tuhan dan tidak berputus asa," katanya sambil menambah bahawa Wong, 54, memerlukan penjagaan paliatif.

Chang berkata semasa di Singapura, bekas Anggota Parlimen Sibu itu, hilang keupayaan untuk bertutur.

Katanya beliau memberi persetujuan kepada doktor di sana untuk melakukan trakeostomi bagi membolehkan suaminya bernafas dan mengeluarkan sebarang rembesan daripada saluran udaranya.

Trakeostomi merupakan pembedahan yang mana satu lubang dibuat pada trakea melalui leher untuk melegakan sekatan pernafasan.

Chang berkata pada kira-kira 7 pagi, 16 April lepas, denyutan jantung suaminya telah berhenti selama 20 minit tetapi doktor berjaya memulihkannya.

"Oleh kerana keadaannya, beliau tidak lagi mampu menjalankan tugas sebagai wakil rakyat di Bukit Assek. Saya harap penyokongnya dan masyarakat di kawasan itu dapat memahami keadaan," katanya.

Selain itu, katanya, suaminya akan memohon cuti daripada menghadiri mesyuarat persidangan DUN minggu depan.Chang berkata beliau terpaksa mengadakan sidang media itu kerana banyak pertanyaan mengenai keadaan suaminya serta menghentikan sebarang spekulasi.

"Berikutan keadaan sistem imunnya yang lemah, adalah tidak digalakkan untuk orang ramai dan penyokongnya datang melawatnya dengan jumlah yang ramai," katanya.-- BERNAMA

Isteri Wong Ho Leng Hargai Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Isteri Wong Ho Leng Hargai Bantuan Kewangan Kerajaan Negeri Reviewed by Admin on May 02, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.