KUALA LUMPUR, 7 MEI 2014: Meskipun sedih dengan pemergian Datuk Aziz Sattar yang juga merupakan rakan seperjuangannya, seniwati Datuk Rosnani Jamil akui berasa lega dan reda kerana dapat meluangkan masa serta memasakkan Rendang Daging iaitu makanan kegemaran bintang lagenda itu sebelum beliau kembali ke rahmatullah.
Datuk Rosnani Jamil atau mesra dengan panggilan Mak Nani berkata tiga minggu sebelum pemergian arwah, ketika bertandang ke rumahnya dengan bekalan rendang daging, Aziz Sattar sudah menunjukan tanda-tanda pelik.
"Mak (Mak Nani) jumpa dia tiga minggu lalu. Mak ke rumah dia. Mak bawakan rendang untuknya. Dia sangat teruja dan berterima kasih sebab katanya mak ingat juadah kegemaran dia. Dia puji masakan mak, depan anak-anak dia. Alhamdulillah mak rasa puas sangat, sebab dapat masakan untuk dia.
“Tapi masa pertemuan itu, mak dah dapat rasakan yang dia bukan macam yang mak kenal. Dah tak ada keletah-keletah lucunya. Masa hendak pulang kami sempat bermaafan.
"Mak beritahu suami, Datuk Jamil yang arwah dah tak sama macam dulu. Dah tak berjenaka macam selalu,” katanya kepada murai.com.my yang ditemui pada majlis pengurusan jenazah arwah Aziz Sattar di Surau Al –Amin Bandar Tun Hussien Onn, Cheras semalam.
Aziz Sattar atau Pak Aziz yang memulakan kerjaya seni perfilemannya di Jalan Ampas pada era 60-an telah meninggal dunia sekitar jam 2 pagi tadi di Hospital KPJ Kajang.
Pak Ajis yang sebelum ini sering membintangi filem-filem komedi bersama Allahyarham Tan Sri P Ramlee serta S Shamsuddin termasuklah siri Bujang Lapok telah meninggal dunia akibat sakit jantung yang dihidapinya selama beberapa tahun.-murai.com.my
Mak Nani Sempat Masakkan Datuk Aziz Sattar Rendang Daging
Reviewed by Admin
on
May 07, 2014
Rating:
No comments: