Seo Services

Wali Band selesa dengan imej selekeh



BERTANDANG ke negara ini bagi melancarkan album keempat milik mereka berjudul Doain Ya Penonton, kumpulan terkenal Indonesia, Wali dilihat masih mengekalkan imej kekampungan dalam karya mereka yang terbaharu.

Tidak kisah dilabel sebagai artis kampungan, Wali yang sebelum ini mula dikenali menerusi lagu Cari Jodoh beranggapan bahawa imej tersebut yang meletakkan mereka ke tahap yang dicapai pada hari ini.

Mewakili kumpulan Wali, Apoy selaku gitaris utama berkata, kelainan yang terdapat dalam setiap karya Wali serta penampilan yang diketengahkan adalah kekuatan mereka untuk terus bertahan dan bersaing dengan ratusan kumpulan muzik yang terdapat di seluruh Nusantara.

“Lagu-lagu kami yang berkonsep kemasyarakatan menceritakan kisah-kisah yang begitu dekat dengan jiwa masyarakat sekeliling dan disebabkan itulah, ia menjadi faktor utama Wali diterima umum.

“Walaupun pengikut Wali terdiri daripada golongan luar bandar, kami tidak kisah asalkan mempunyai peminat yang boleh menghargai dan mengiktiraf muzik kami. Bersyukur seadanya," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur minggu lalu.

Konsep dangdut koplo

Sementara itu, menyentuh konsep yang disuntik ke dalam album baharu berkenaan, Apoy menjelaskan ia mengetengahkan genre dangdut koplo.

“Ia bermaksud, muzik yang seakan dangdut, tetapi diberi sentuhan moden bersesuaian dengan cita rasa semasa. Lebih menarik, lirik yang terdapat dalam beberapa buah lagu dihasilkan melalui perbincangan dengan peminat dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Jadi, nilai-nilai kemasyarakatan yang terdapat dalam lagu tersebut lebih menonjol kerana ia datang secara terus daripada kelompok masyarakat itu sendiri.

“Sebagai contoh, kami banyak menggunakan perkataan bahasa Melayu standard atau tatabahasa yang mudah difahami di ketiga-tiga buah negara tersebut, berbanding istilah yang hanya terdapat dalam bahasa Indonesia," katanya menerangkan keistimewaan album yang memuatkan 11 buah lagu itu.

Tambah Apoy, pihaknya menggunakan laman sosial sebagai medium interaksi dengan para peminat Wali dari ketiga-tiga negara bagi merealisasikan projek album terbaharu tersebut.

Menjelaskan pemilihan Malaysia sebagai negara pertama sebagai lokasi pelancaran perdana album berkenaan, Apoy memberitahu bahawa peminat dari negara ini turut menyumbang ke arah kebangkitan muzik Wali.

“Ia simbolik terima kasih dan penghargaan daripada kami buat peminat di sini," jelasnya ringkas.

Antara lagu yang terdapat dalam album yang bakal berada di pasaran pada pertengahan Mei ini ialah Indonesia Juara, Jamin Rasaku, Serpihan Hatiku, Junet, Ada Gajah Dibalik Batu, Doain Ya Penonton, Ditinggal Kawin, Obat Perkasa, Cinta Dihujung Nafas, Kalau Masih Bisa Memilih dan Kamu Masih Manusia.


Wali Band selesa dengan imej selekeh Wali Band selesa dengan imej selekeh Reviewed by Unknown on May 09, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.