KUCHING - Keputusan Sarawak menyertai Semenanjung bagi menubuhkan Malaysia 50 tahun lalu merupakan keputusan terbaik bagi menyelamatkan negeri ini daripada cengkaman komunisme dan ancaman luar yang lain.
Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata, barisan pemimpin ketika itu perlu memilih keputusan yang tepat kerana ancaman luar daripada pelbagai pihak khususnya negara jiran, Indonesia yang melancarkan 'Ganyang Malaysia' dilihat mudah untuk mempengaruhi masyarakat negeri ini.
Katanya, cabaran untuk memerdekakan negeri ini daripada ancaman British seterusnya membentuk Malaysia bukan mudah kerana banyak pengorbanan yang perlu dihadapi namun keputusan tersebut berbaloi apabila hasilnya dapat dinikmati generasi hari ini.
"Fokus utama pemimpin hari ini adalah memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai bangsa, agama, etnik dan keturunan.
"Jika perbezaan yang terdapat di negeri ini dahulu boleh dicapai menerusi persefahaman, maka langkah yang sama wajar digunakan untuk memupuk dan meningkatkan nilai perpaduan generasi hari ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Memperingati 22 Julai dan Penghargaan Sambutan Perayaan 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini malam tadi.
Majlis tersebut turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; isteri Ketua Menteri, Puan Sri Jamilah Anu; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Kewangan Kedua negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh.
Pada majlis tersebut, Abdul Taib turut melancarkan buku bergambar yang bertajuk Colours of Harmony and Prosperity yang memuatkan pelbagai aktiviti sempena 50 Tahun Kemerdekaan Sarawak.
Mengulas lanjut Adenan berkata, perpaduan dalam kalangan rakyat negeri ini sangat diperlukan ketika Malaysia sedang berhadapan dengan pelbagai tragedi besar iaitu kehilangan MH370 dan nahas MH17 baru-baru ini.
Katanya, rakyat perlu berfikiran rasional dalam menghadapi tragedi tersebut dengan sentiasa berdiri di belakang pemimpin negara demi mencapai keadilan.
Keputusan Sarawak bersama menubuhkan Malaysia adalah satu keputusan tepat.
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2014
Rating:

No comments: