KUCHING - Kes denggi di Sarawak meningkat 1.1 peratus kepada 859 kes bagi tempoh sama Januari hingga 19 Julai tahun ini berbanding 850 kes tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh berkata, kes terbanyak dicatatkan adalah di Sibu dengan 308 kes diikuti Miri (98), Kuching (79), Daro (56), Betong (36) dan Bintulu (35).
Katanya, Kapit dan Saratok masing-masing merekodkan 31 kes, Belaga (22), Limbang (16), Sarikei (15), Tatau (14), Sri Aman (13), Pakan (13), Simunjan dan Marudi (10) manakala daerah-daerah lain kurang daripada 10 kes.
"Justeru, kerajaan akan melancarkan Kempen 10 Minit Cegah Denggi Hapuskan Aedes di seluruh Sarawak dan Sibu menjadi kawasan utama kempen membanteras ancaman denggi ini.
"Dalam kempen tersebut, orang ramai perlu meluangkan masa hanya 10 minit setiap minggu untuk membersihkan kediaman masing-masing bagi memastikan ia bebas nyamuk aedes," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Baitulmakmur, Jalan Masja di sini semalam.
Mengulas lanjut Soon Koh berkata, laporan terbaharu Jabatan Kesihatan negeri mencatatkan terdapat 14 kawasan wabak aktif di seluruh Sibu, dua di Kapit manakala Serian, Betong dan Kuching masing-masing satu kawasan.
Katanya, kempen perangi denggi akan diperkasakan di Bukit Assek di Sibu yang merupakan kawasan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan statistik kes denggi di negeri ini.
"Dalam masa sama, Jabatan Kesihatan negeri menjalankan pemeriksaan terhadap 55,507 premis dan mendapati 822 premis positif pembiakan nyamuk aedes.
"Sebanyak 83 kompaun bernilai RM44,000 dan 263 notis dikeluarkan kepada pemilik premis tersebut mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975," katanya.
Kes Denggi di Sarawak naik 1.1 peratus
Reviewed by Unknown
on
July 25, 2014
Rating:

No comments: