KUALA LUMPUR: Sembilan lagi jenazah warga Malaysia mangsa insiden MH17, yang sudah dikenal pasti identiti mereka akan dibawa pulang Jumaat ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai bagaimanapun menjelaskan, proses membawa pulang jenazah tersebut bergantung kepada kelulusan dan dokumentasi dari pihak Belanda.
Tiong Lai memberitahu kebiasaannya, proses kelulusan dari pusat bedah siasat Hilversum selepas satu-satu mayat dikenalpasti, mengambil masa lima ke tujuh hari.
"Sekiranya dalam tempoh terdekat ini, proses dokumentasi dan kelulusan dari pihak Belanda diperoleh, kita akan membawa pulang kesemua 24 mayat, kerana pesawat Boeing 747 yang digunakan boleh membawa banyak jenazah," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Perhimpunan Agung Wanita MCA Selangor di sini.
Bagaimanapun ujarnya, sekiranya kelulusan tidak diperoleh dalam masa terdekat, baki jenazah itu dibawa pulang dalam kumpulan kedua.
Tambahnya, kerajaan memberi jaminan proses membawa pulang jenazah mangsa MH17 berjalan lancar.
Ia termasuk menghantar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong ke Amsterdam, bagi membantu proses pengurusan jenazah bukan Islam.
No comments: