Seo Services

Kereta kuda bersalut emas dan berlian


Kereta kuda digunakan secara meluas sebagai kenderaan pengangkutan darat sejak abad ke-19 lagi, sebelum berlakunya revolusi kenderaan bermotor yang menyaksikan kereta dan motosikal mengambil alih peranan sebagai alat pengangkutan utama.

Kini kereta kuda tidak lagi digunakan secara meluas, sebaliknya ia menjadi kenderaan istimewa yang digunakan oleh golongan elit seperti raja atau pemerintah sesebuah negara sebagai simbol kedaulatan dan kemegahan.

Turut tidak ketinggalan untuk memiliki sebuah kereta kuda ialah pemerintah Britain iaitu Ratu Elizabeth II yang dikenali sebagai Kereta Kuda Diamond Jubilee State.

Bukan seperti kereta kuda biasa, struktur binaan Diamond Jubilee State dibina berteraskan elemen sejarah 1,000 tahun England bersama negara-negara jajahan Komanwel.

Bumbung kereta kuda tersebut yang dihiasi dengan ukiran mahkota bersama empat ekor singa diambil daripada kapal perang HMS Victory 1922, yang didatangkan khas dari Istana Buckingham.

Struktur dinding dalaman Diamond Jubilee State pula dibina dengan menggunakan panel-panel serpihan kayu peristiwa-perisitiwa penting yang mempunyai kaitan dengan sejarah England.

Kedaulatan

Antaranya panel kayu kapal pengembara Scott’s Antartik, pokok buah epal Sir Isaac Newton dan tangga Sir Edmund Hillary pendaki gunung terkenal dari New Zealand.

"Saya mahu menghasilkan sesuatu yang luar biasa sebagai penghormatan kepada kedaulatan institusi diraja yang selama ini dijaga dengan baik oleh Ratu Elizabeth," kata Jim Frecklington, 64, pencipta kereta kuda berkenaan.

Kenderaan yang bergerak dengan menggunakan enam ekor kuda itu, berjaya disiapkan dalam tempoh masa 10 tahun oleh 50 orang tukang kayu terbaik yang didatangkan khas dari negara-negara Komanwel.

Mempunyai ukuran panjang 5.4 meter, tayar kereta kuda berkenaan dibina oleh sebuah syarikat reka bentuk kereta lumba terkenal di Australia dengan menggunakan aluminium kapal terbang bagi menampung berat kereta kuda tersebut yang mencecah sehingga tiga tan.

Sutera emas

Menambahkan lagi keistimewaannya, tempat duduk Diamond Jubilee State dihasilkan dengan menggunakan kulit sutera emas.

Manakala, keseluruhan badan kereta kuda tersebut dicat oleh pelukis terkenal Australia iaitu Paula Church.

Bahagian luar kereta kuda berkenaan turut tidak ketinggalan untuk mendapat sentuhan kreatif dan mewah, apabila setiap penjuru dihiasi dengan empat buah lampu yang dibina khas dengan menggunakan kristal plumbum dari Edinburgh.

Sementara, pembuka pintu kereta tersebut didatangkan khas dari New Zealand dengan setiap satunya disadurkan dengan emas bersama 24 biji berlian dan 130 biji nilam Australia.

Kesemua bentuk hiasan dan simbol kebesaran yang diletakkan sudah mendapat kelulusan daripada Kolej of Arms, kolej seni terkenal di England bagi menjamin kualiti dan keaslian reka bentuknya.

Orang ramai kini boleh melihat kereta kuda ini di Royal Mews yang terletak di belakang Istana Buckingham, selain turut dipamerkan adalah beberapa kenderaan kerabat di raja Britain yang lain.

Kereta kuda bersalut emas dan berlian Kereta kuda bersalut emas dan berlian Reviewed by Unknown on August 25, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.