KUCHING 18 Ogos - Malaysia dijangka menjadi hab penjagaan luka di Asia setelah lebih 1,000 pusat penjagaan kesihatan dilengkapkan dengan inisiatif untuk merawat masalah tersebut.
Presiden Persatuan Penjagaan Luka Profesional Malaysia (MSWCP), Dr. Harikrishna K.R Nair berkata, inisiatif bagi penjagaan luka itu akan disediakan di hospital umum dan klinik kesihatan.
Katanya, rancangan tersebut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan apabila bersetuju mengeluarkan pekeliling untuk penubuhan jawatankuasa dan pasukan penjagaan luka di 134 hospital di seluruh negara.
"Inisiatif ini sudah ditubuhkan dan dijalankan di hospital berkenaan termasuk di Hospital Umum Sarawak (HUS). Ia turut dilaksanakan di Hospital Bintulu, Miri dan Sibu serta hospital-hospital di Sabah.
"Kita mahu menjadikan Malaysia sebagai hab bagi penjagaan luka di seluruh Asia Tenggara termasuk Asia di mana setiap pesakit akan mempunyai akses untuk mendapatkan penjagaan luka yang terbaik," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Penutupan Kongres Penjagaan Luka Transborneo 2014 di sini semalam.
Tambahnya, rancangan itu juga dijalankan bersama Akademi Teknologi Luka Asia dan Persatuan Luka Bersatu Dunia.
"Malaysia telah merekodkan kira-kira 1.4 juta kes kaki diabetis dengan 25 peratus pesakit kencing manis mengalami kes kaki diabetis.
"Justeru, pakar kesihatan harus menghasilkan kaedah penjagaan luka yang baik sebagai contoh apabila memotong kaki kanan, terdapat 50 peratus risiko untuk pemotongan kaki kiri dan dalam tempoh lima tahun seterusnya, 68 peratus daripada mereka akan meninggal dunia," jelasnya.
Beliau berkata, disebabkan itu, kaedah penjagaan luka yang maju akan dapat membantu mengatasi masalah tersebut.
Malaysia sebagai hab bagi penjagaan luka di seluruh Asia Tenggara
Reviewed by Unknown
on
August 19, 2014
Rating:
No comments: