KUCHING: Halal bukan sahaja berkaitan dengan agama dari segi Pensijilan Halal atau Standard Halal malah halal kini merupakan 'tawaran nilai' atau value proposition yang menjadi pemangkin pembangunan ekonomi.
Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan Satem berkata oleh itu, Program "Halal Outreach Programme" (HOPE) 2014 Peringkat Negeri Sarawak anjuran Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) ini adalah amat tepat pada masa nya untuk memperkasakan inisiatif halal dengan pendekatan baru di negeri ini.
"Industri halal berupaya untuk meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat menerusi perdagangan, perlaburan, penyediaan perkhidmatan dan peluang-peluang pekerjaan."
"Seminar ini menekankan kepada penglibatan Rakyat negeri Sarawak dalam pembangunan Ekonomi Halal, Keusahawanan Halal dan pembangunan modal insan."
Teks ucapan beliau telah dibaca oleh Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg yang mewakili beliau pada Majlis Pelancaran Program HOPE 2014 di sebuah hotel yang terkemuka di bandaraya di sini pagi tadi.
"Objektif utama program ini adalah untuk menyediakan platform untuk usahawan tempatan memperolehi pengetahuan mengenai pemasaran produk dan perkhidmatan ke peringkat antarabangsa."
"Para usahawan akan diberi pendedahan mengenai peluang-peluang perniagaan dan meluaskan pasaran produk halal dan selain daripada itu, pendedahan ini dapat memotivasikan usahawan- usahawan untuk menjadi peserta perniagaan halal menerusi perkongsian ilmu dan kejayaan yang telah dicapai oleh para usahawan produk halal yang telah berjaya dalam bidang masing-masing"
Mengingatkan syarikat-syarikat yang akan menyampaikan ceramah pada hari ini terlibat dalam projek-projek yang berpotensi besar, Adenan berkata para peserta akan diberi peluang untuk mempelajari selok-belok perniagaan serta kepakaran dan kemahiran daripada wakil-wakil syarikat ini.
Beliau juga menyeru agar para peserta seminar menggunakan peluang ini untuk meningkatkan pengetahuan dan produktiviti syarikat masing-masing menerusi industri halal.
"Pasaran global halal amat besar kerana ia bukan sahaja merangkumi barangan makanan bahkan juga termasuk barangan bukan makanan seperti kosmetik, ramuan, farmaseutikal dan lain-lain," katanya sambil menambah permintaan untuk barangan halal dijangka meningkat memandangkan bilangan penduduk yang beragama Islam seluruh dunia yang semakin bertambah.
"Bilangan penduduk Islam dunia dijangka akan bertambah dua kali lebih cepat berbanding penduduk bukan Islam dalam tempoh 20 tahun akan datang, apabila umat Islam dijangka mencakupi 30 peratus daripada jumlah penduduk global."
Penduduk Islam di beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, Eropah dan Jepun masih menghadapi kesukaran untuk memperolehi produk halal, tambahnya lagi.
Adenan menjelaskan setakat bulan Mac 2014, terdapat sebanyak 4,496 buah syarikat aktif yang disahkan halal di Malaysia dan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 35.5 peratus berbanding 3,319 buah syarikat pada jangka waktu yang sama tahun 2013.
"Bagi tahun 2014, di negeri Sarawak terdapat 141 buah syarikat yang diluluskan Sijil Halal di mana 40 syarikat adalah milik Bumiputera dan dari jumlah tersebut, 9 adalah syarikat multinasional, 79 adalah industri kecil, dan 56 adalah industri kecil sederhana."
"Kerajaan juga telah menetapkan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Halal Global pada tahun 2020," katanya sambil menambah HDC ditubuhkan untuk menerajui pembangunan industri halal secara komprehensif dan meneluruh di negara ini.
"Di antara lain, HDC juga bertanggungjawab untuk menyelaras pembangunan taman-taman halal di Malaysia dan setakat ini, terdapat 21 Taman Halal di seluruh negara dan 20 daripadanya telah beroperasi."
"Oleh yang demikian, kita perlu menggunakan kemudahan yang telah diwujudkan oleh kerajaan tersebut dengan sepenuhnya dan ini termasuklah pembinaan Taman-Taman Halal seperti taman Halal Tanjung Manis, Sarawak serta program-program pembangunan usahawan halal."
"Keluasan Hab Halal Tanjung Manis yang telah dipersijilkan oleh HDC dengan Sijil HALMAS adalah 124,000 hektar dan merupakan Hab Halal yang terbesar di rantau ini," kata Adenan menambah pembangunan industri Halal di Sarawak akan menjadi antara penyumbang kepada Nilai Eksport Halal Malaysia yang mana kini telah mencecah RM32 bilion.
"Melalui pelbagai inisiatif ini, pihak Kerajaan, melalui Unit Hub Halal yang bertindak sebagai penggerak bagi memacu perkembangan industri Halal di Sarawak, ingin melihat negeri ini sebagai peneraju dalam industri Halal bagi seluruh Malaysia dan ini sekaligus akan dapat menaikkan imej Malaysia sebagai tunggak utama dalam industri Halal dunia," katanya lagi.
Seramai 240 peserta yang menghadiri program dua hari itu dan turut hadir di majlis pelacaran program tersebut adalah Menteri Muda Hal Ehwal Islam Datuk Dr Haji Daud Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Eksekutif HDC Hasni Zarina Mohamed Khan Also yang mewakili Ketua Eksekutif HDC Dato' Seri Jamil Bidin. - Sarawakiana
No comments: