KUCHING: Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk memperkemas perancangan komunikasi Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score), program penting kerajaan negeri yang bertujuan menjadikan Sarawak negeri paling kaya menjelang 2030.
Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata ketika ini terdapat kelemahan dalam perancangan komunikasi seperti aliran maklumat yang tidak tersusun mengenai kemajuan Score, maklumat dan komunikasi yang tidak tekal dan kekurangan pembabitan orang ramai, terutama di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, sebahagian daripada masalah itu berpunca daripada kekurangan petugas komunikasi yang terlatih, sedangkan negeri ini memerlukan suatu bentuk komunikasi yang pro orang ramai, sarat dengan nilai dan melibatkan penyertaan untuk membolehkan rakyat menyuarakan pandangan mereka serta diberi ruang untuk turut mengambil bahagian.
Katanya pelan Komunikasi Pembangunan (DevCom) untuk Score perlulah sesuatu yang dapat melahirkan ramai rakyat Sarawak yang berilmu dan mampu memberi sokongan kepada Score.
"Hanya apabila mereka menganggap diri mereka sebagai subjek dan objek dalam usaha pembangunan kita, barulah rakyat akan menyokong kita dan berganding bahu dengan kita secara sepenuh hati," kata beliau.
Adenan berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan bengkel tiga hari mengenai 'Memantapkan Komunikasi Pembangunan Untuk Transformasi Ekonomi dan Sosial di Sarawak' di sebuah hotel terkemuka di sini Selasa.
Dianjurkan Institut Pembangunan Sarawak (SDI), dengan kerjasama College of Development Communication, University of the Phillipines Los Banos dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa Bersatu, bengkel ini bertujuan memberi pengalaman amali kepada peserta berkaitan perancangan strategik DevCom.
Adenan berkata DevCom merupakan campur tangan secara terancang dalam bidang sosial, berlandaskan impian dan keazaman serta penyertaan rakyat.
Katanya bengkel itu juga bertujuan menggalakkan pegawai pembangunan mencipta DevCom bagi menyokong Score.
"Dalam kebanyakan projek pembangunan kami melalui Score, terutama berkaitan empangan hidro, nampaknya wujud jurang luas antara kerajaan dan komuniti yang terjejas dari segi aliran maklumat dan penyelarasan usaha ke arah memenuhi keperluan masyarakat setempat," katanya.
Adenan berkata ketidaktekalan dalam kandungan komunikasi, kejanggalan maklumat yang disampaikan, kekurangan ketelusan, kelewatan memberi respons terhadap keperluan masyarakat dan persiapan yang begitu lemah oleh masyarakat untuk menghadapi cabaran bakal menjelma, adalah antra isu dan cabaran yang timbul akibat kelemahan dalam merancang kegiatan komunikasi.- BERNAMA
Perancangan Komunikasi SCORE Perlu Diperkemas - Adenan
Reviewed by Unknown
on
August 13, 2014
Rating:
No comments: