KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Parti Rakyat Bersatu (UPP), yang ditubuhkan kumpulan serpihan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), tidak boleh sama sekali diibaratkan seperti 'wain lama dalam botol baharu', kata pengerusi jawatankuasa penajanya Datuk Seri Wong Soon Koh.
"Sama sekali, tidak. Seperti yang saya kata sebelum ini, ia adalah sesuatu yang baharu. Tidak perlu menoleh ke belakang, kami bermula sebagai sebuah parti baharu.
"Ia tidak boleh langsung dibandingkan dengan SUPP," katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran parti itu di sini hari ini apabila ditanya sama ada dua parti itu mempunyai persamaan iaitu untuk masyarakat Cina di Sarawak.
Wong, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti negeri berkata UPP adalah parti pelbagai kaum, yang memberi lebih sedikit tumpuan terhadap masyarakat bandar dan secara kebetulan lebih ramai daripada mereka adalah kaum Cina.
Mengenai rayuan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem kepada pemimpin SUPP dan UPP supaya berhenti daripada bergaduh dan mula berbincang untuk mewujudkan kestabilan politik di Sarawak memandangkan kedua-dua parti itu berkongsi matlamat untuk menyatupadukan masyarakat Cina, beliau berkata para pemimpin UPP tidak boleh mengulasnya kerana kedudukan mereka yang dipecat daripada SUPP.
"Bagaimanapun, sekiranya itu adalah inisiatif ketua menteri sendiri, maka kami bersedia berbuat demikian, tetapi mereka perlu berbincang dengan kami berdasarkan kedudukan kami sebagai pemimpin UPP, bukan sebagai anggota SUPP yang dipecat," katanya.
Wong berkata UPP akan mengemukakan permohonan untuk menyertai Barisan Nasional (BN) beberapa minggu lagi.
Ditanya sama ada beliau menjangka perkara itu akan mendapat bantahan daripada SUPP dan cara untuk mengatasinya, beliau berkata: "Kami serah perkara itu kepada para pemimpin BN dan kebijaksanaan ketua menteri sendiri.
"Kata beliau sekiranya permohonan UPP untuk menganggotai BN ditolak SUPP, mereka akan membuat keputusan mengenainya apabila perlu berbuat demikian.
Sementara itu, Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil, seorang daripada anggota jawatankuasa sementara UPP yang turut menghadiri majlis itu, berkata bagi kumpulan berkenaan, mereka menganggap diri masing-masing terus berada dalam BN dan menjalankan tugas sebagai wakil rakyat parti gabungan itu.
Anggota jawatankuasa sementara lain termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Opar Ranum Mina, Adun Engkilili Dr Johnical Rayong dan peguam George Lo.
Ketika menggariskan 13 perkara tentang peranan UPP, Wong menyentuh beberapa cabaran besar yang bakal dihadapi parti itu dan mengikrarkan kesetiaan serta sokongan UPP kepada BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Adenan.
Beliau berkata UPP juga akan memberi kepimpinan bermakna dan membina kepada rakyat serta terus bersikap responsif terhadap keperluan mereka, sambil memperjuangkan keadilan, kesamarataan serta kemajuan untuk semua komuniti.
Mengenai cabaran yang bakal dihadapi parti itu, Wong menegaskan bahawa anggota dan pemimpin UPP, khususnya, akan berusaha dengan tekun agar suatu hari nanti, masyarakat Cina akan bersatu secara politik dalam BN dan bekerjasama dengan kaum lain untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri pelbagai etnik serba maju.-- BERNAMA
No comments: