KUALA LUMPUR: Syarikat yang menyediakan perkhidmatan kemudahan jagaan kesihatan swasta kepada pelancongan kesihatan akan menikmati pengecualian ke atas pendapatan bersamaan dengan Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus daripada perbelanjaan modal yang layak untuk tempoh lima tahun.
Perkara ini terkandung pada lampiran Ucapan 'Bajet 2015:Ekonomi Keperluan Rakyat' yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Jumaat.
Galakan cukai itu diberikan kepada syarikat baharu dan sedia ada yang membuat pembesaran, pemodenan dan pembaharuan dalam penyediaan perkhidmatan kemudahan jagaan kesihatan swasta.
Syarikat yang layak untuk memperoleh faedah itu hendaklah dilesenkan dengan Kementerian Kesihatan dan didaftarkan dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia.
Ia melibatkan permohonan yang diterima Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bermula 1 Jan 2015 hingga 31 Dis 2017.
Langkah ini adalah selari dengan usaha merancakkan pertumbuhan pelancongan kesihatan selain meningkatkan potensi Malaysia untuk menjadi hab pelancongan kesihatan di rantau ini.
Pembentangan Bajet 2015 juga meyaksikan pelepasan perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius yang layak dituntut pembayar cukai untuk diri sendiri, pasangan dan anak dinaikkan kepada RM6,000 berbanding RM5,000 sebelum ini.
Ia melibatkan rawatan penyakit serius seperti barah, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, sindrom kurang daya tahan (AIDS), penyakit Parkinson dan leukemia.
Jumlah kenaikan sama juga diterima pembayar cukai individu kelainan upaya (OKU) atau pembayar cukai individu yang mempunyai tanggungan anak OKU, bagi meringankan kos sara hidup mereka.
Selain itu, pelepasan cukai sebanyak RM6,000 juga diberikan kepada pembayar cukai OKU bagi pembelian alat sokongan asas untuk kegunaan sendiri, anak dan ibu bapa OKU. - Bernama
#Bajet2015 : Cukai Galakan Untuk Pelancongan Kesihatan
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 10, 2014
Rating:
No comments: