KUALA LUMPUR: Program Sokongan Untuk Suri Rumah 1Malaysia dan Program Wanita Kembali Berkerjaya (WCC) yang dicadang dalam Bajet 2015 akan dapat membantu suri rumah menangani peningkatan kos sara hidup.
Yang Dipertua Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) Profesor Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim berkata suri rumah harus mengambil peluang daripada kedua-dua program untuk memajukan ekonomi keluarga dan tidak hanya bergantung kepada suami.
"Pendapatan suami kadang kala tidak mencukupi untuk menyara keluarga, jadi melalui program sokongan untuk suri rumah, isteri boleh menambah kemahiran dan menjalankan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.
"Bagi program WCC pula, kita tahu ramai wanita berkelayakan berhenti kerja untuk menjaga anak di rumah, tetapi dengan pengalaman yang ada apabila anak sudah besar, mereka boleh kembali bekerja dan menyumbang kepada ekonomi keluarga," katanya kepada Bernama hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, mengumumkan peruntukan RM2.26 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi pembangunan dan operasi mempergiat penglibatan wanita dalam pasaran kerja serta aktiviti keusahawanan.
Ia termasuk pembentukan Program Sokongan Untuk Suri Rumah 1Malaysia bagi memberi latihan kemahiran dan galakan kepada suri rumah memasuki pasaran kerja.
Program WCC pula diwujud untuk wanita kembali bekerja berdasarkan kelayakan profesional melalui Talent Corp.
Sementara itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Siswazah Wanita Malaysia (PSWM) Datuk Atikah Adom berkata keputusan kerajaan membenarkan majikan mengendali pusat jagaan kanak-kanak melebihi tingkat dua adalah langkah tambahan untuk menggalakkan suri rumah kembali bekerja.
"Kebanyakan suri rumah keberatan untuk bekerja kerana kurang yakin dengan pusat jagaan kanak-kanak, jadi apabila ada pusat jagaan di tempat mereka bekerja, mereka boleh memantau anak-anak secara dekat," katanya.
Bagaimanapun, Atikah berkata semua inisiatif yang diumum dalam Bajet 2015 untuk mempergiat penglibatan wanita dalam pasaran kerja perlu mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak majikan bagi memastikan kejayaan program itu. - Bernama
#Bajet2015 : Program Sokongan Untuk Suri Rumah Tangani Kos Sara Hidup
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 10, 2014
Rating:
No comments: