KUALA LUMPUR: Pusat Percetakan Al-Quran yang akan dibina di Putrajaya menjadi mercu tanda baharu kepada Malaysia sebagai negara Islam yang menyebarluaskan syiar Islam di dunia, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata dengan terbinanya pusat itu, ia dapat membuka 'pintu' kepada lebih banyak jalinan kerjasama dengan negara Islam lain sebagai sumber rujukan dalam percetakan Al-Quran.
"Aspek keagamaan tidak dilupakan kerajaan kerana selain pendidikan Islam, bantuan juga diberi kepada sekolah pondok. Kini negara akan menerima sebuah lagi pusat yang besar manfaatnya untuk menyebarkan syiar agama kepada masyarakat Islam," katanya kepada BERNAMA.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, Jumaat, berkata kerajaan akan membina sebuah Pusat Percetakan Al-Quran, yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi, bertempat di pusat pentadbiran negara, Putrajaya.
Najib berkata bagi tujuan itu, kerajaan memperuntukkan RM30 juta untuk pusat itu yang dijangka dapat mencetak sehingga sejuta naskhah al-Quran setahun untuk edaran ke seluruh dunia.
Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata dengan penubuhan pusat itu, Malaysia tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada pusat percetakan Al-Quran di Arab Saudi.
"Langkah membina pusat itu akan membangunkan ekonomi negara selain dapat menjadi tarikan kepada lebih ramai masyarakat Islam dunia luar untuk mendalami ilmu agama di Malaysia," katanya.
Yang Dipertua Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Datuk Sheikh Abdul Halim Abd Kadir berpendapat langkah kerajaan mewujudkan pusat itu wajar dipuji namun berharap kerajaan memberi penekanan dalam peningkatan kefahaman Al-Quran.
"Soalnya bagaimana untuk kita memanfaatkan pusat itu, bukan sekadar ianya pusat untuk mencetak semata-mata namun juga seharusnya berperanan melatih dan mendidik masyarakat Islam membaca serta memahami Al-Quran dengan lebih mendalam," katanya. - Bernama
#Bajet2015 : Pusat Percetakan Al-Quran Mercu Tanda Baharu Syiar Islam Malaysia
Reviewed by Salfian Nawawi
on
October 11, 2014
Rating:
No comments: