KOTA SAMARAHAN: Kerajaan memberi jaminan bahawa pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkuat kuasa April 2015 tidak akan membebankan rakyat di Sabah dan Sarawak.
Jaminan ini diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Bersama Warga Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini semalam.
Menurut Muhyiddin, maklumat tentang pelaksanaan GST telah dihebahkan secara menyeluruh kepada rakyat di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.
“Pelaksanaan GST merupakan inisiatif kerajaan pusat untuk mengatasi kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada.
“Di peringkat negeri terdapat bidang kuasa dalam sistem pungutan cukai masing-masing yang melibatkan tanah, pembalakan dan sebagainya.
“Namun GST yang akan dilaksanakan oleh kerajaan nanti tidak ada perbezaan antara Sarawak dan Sabah dengan beban cukai Semenanjung Malaysia,” ujarnya ketika menjawab pertanyaan daripada salah seorang warga UNIMAS di Arena Gemilang, DeTAR Putra, semalam.
Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berbangga dengan pencapaian cemerlang UNIMAS dalam melahirkan modal insan yang mahir dan berkualiti.
Malah beliau memuji pimpinan UNIMAS yang bersikap terbuka dalam pengurusan universiti di mana nilai-nilai hidup tidak dikawal tetapi dibataskan dengan cara yang tertib dan bersopan.
“Seperti yang kita tahu, kerajaan pusat dan negeri kini sedang menyediakan perancangan terakhir bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK- 11) yang akan digunakan sehingga 2020.
“Impian kita untuk mencapai status negara maju menjelang 2020 adalah mengikut acuan kita sendiri dan sebab itu kita perlu melahirkan modal insan yang dipenuhi dengan ilmu pengetahuan,” katanya.
Terdahulu sebelum menghadiri perjumpaan khas tersebut, Muhyiddin menghadiri Istiadat Pemasyhuran Canselor UNIMAS yang berlangsung di Astana Negeri.
Pada perjumpaan itu semalam, Muhyiddin turut menyaksikan penyerahan kunci bangunan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) serta Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti UNIMAS yang baharu.- UB
GST Tidak Akan Membebankan Rakyat Di Sabah Dan Sarawak.
Reviewed by uMieySurianie
on
October 28, 2014
Rating:
No comments: