MELAKA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima Anugerah Mansur Syah Dunia Melayu Dunia Islam berikutan sumbangannya terhadap Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) sempena Konvensyen DMDI Ke-15 di sini, pada Isnin malam.
Anugerah berbentuk selempang hitam dan sijil penghargaan itu disampaikan oleh Presiden DMDI Tan Sri Mohd Ali Rustam.
Turut hadir pada majlis itu ialah Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.
Pada majlis sama, Muhyiddin menyampaikan Anugerah Tun Perak kepada Idris yang juga Pengerusi Biro Belia DMDI kerana jasa beliau terhadap pembangunan DMDI.
Dalam pada itu, empat individu menerima anugerah Temenggong Tun Hassan termasuk Sekretaris Daerah Sumatera Utara dan Ketua Harian Sekretariat DMDI Sumatera Utara Indonesia H. Nurdin Lubis, dan Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka dan Setiausaha Biro Pendidikan DMDI Profesor Datuk Dr Baharudin Puteh.
Tujuh individu pula menerima Anugerah Hang Tuah dan tiga lagi menerima Anugerah Tun Fatimah.
Konvensyen DMDI itu, yang berlangsung selama tiga hari bermula Ahad, dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari 18 negara anggota DMDI temasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Singapura, China dan Afrika Selatan. - BERNAMA
Muhyiddin Terima Anugerah Mansur Syah DMDI
Reviewed by JANUARIUS
on
October 28, 2014
Rating:
No comments: