KUALA LUMPUR: Parlimen Indonesia bersetuju untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan selepas 12 tahun ia ditandatangani, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr James Dawos Mamit, berkata keputusan itu dibuat pada 16 September lepas hasil rundingan negara-negara ASEAN termasuk Malaysia untuk kerajaan Indonesia menyegerakan proses ratifikasi berkenaan.
"Persetujuan Parlimen Indonesia untuk meratifikasi perjanjian tersebut adalah tindakan positif yang amat dialu-alukan di mana ia menggambarkan kesungguhan kerajaan Indonesia untuk menangani masalah jerebu merentas sempadan secara lebih menyeluruh dan berkesan," katanya pada sesi soal jawab di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) yang ingin mengetahui hasil rundingan Malaysia dan Indonesia dalam mencari langkah penyelesaian masalah jerebu yang sering dihadapi kedua-dua negara.
Dawos juga berkata, kerajaan Malaysia dan Indonesia juga sedang bekerjasama untuk merangka perjanjian persefahaman yang baharu di peringkat hubungan dua hala untuk menangani masalah jerebu.
"Ia membolehkan kedua-dua negara berkongsi pengalaman, kepakaran dan maklumat berkaitan isu berkenaan," katanya.- BERNAMA
Parlimen Indonesia Setuju Sahkan Perjanjian Berkaitan Jerebu
Reviewed by Unknown
on
October 28, 2014
Rating:
No comments: