KUALA LUMPUR: Projek rumah perkampungan mapan yang dibina dengan menggunakan sumber bahan tempatan seperti buluh, kayu dan guni pasir akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Mengumumkan demikian, Menteri kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata projek itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Construction Research Institute of Malaysia (CREAM).
"Rumah tersebut akan dilengkapi dengan ciri teknologi hijau iaitu menggunakan sistem kecekapan air, pencahayaan dan pengudaraan semula jadi, tenaga solar, penuaian sistem air hujan dan juga sistem pam bergraviti (ram pump)," katanya.
Fadillah bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Kementerian Kerja Raya 2014 di sini, Selasa.
"Kita akan mencadangkan untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menilai rumah tersebut.
"Sama ada ia boleh diaplikasikan pada semua projek termasuk projek PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia), SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) dan perumahan rakyat yang dilaksanakan di bawah Kementerian Perumahan," katanya.- BERNAMA
Projek Rumah Perkampungan Mapan Bakal Dilaksana
Reviewed by Unknown
on
October 14, 2014
Rating:
No comments: