KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) telah memperkenalkan program baharu di bawah Fakulti Kejuruteraan pada tahun ini iaitu Kejuruteraan Elektrikal sebagai usaha melahirkan graduan berkemahiran untuk pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim berkata, program yang diperkenalkan itu juga pada masa ini mempunyai 30 pelajar sebagai permulaan.
“Tahun ini kita memperkenalkan Kejuruteraan Elektrikal selaras dengan perkembangan SCORE dan berharap semua graduan ini akan dapat bersama membangunkan industri-industri yang ada di SCORE.
“Buat masa ini kami mengambil 30 pelajar sebagai permulaan namun selepas program ini mendapat akreditasi penuh dan sebagainya, kami akan memperkembangkan lagi para pelajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program ‘Engineering Week’ 2014 yang disempurnakan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Mohd Naroden Majais di Dataran Fakulti Kejuruteraan UNIMAS di sini, semalam.
Tambah Wan Hashim, selain memperkembangkan lagi pengambilan pelajar program baharu itu, UNIMAS juga akan meningkatkan lagi pengambilan pelajar bagi program Kejuruteraan Kimia.
“Buat masa ini kami hanya merancang satu atau dua program dari segi pengambilan pelajar, misalnya Kejuruteraan kimia dan Kejuru-teraan Elektrikal ini.
“Kami tidak dapat mempertingkatkan pengambilan secara mendadak disebabkan semua program kami perlukan akreditasi dan ia dikawal dari segi itu,” katanya sambil memberitahu bahawa daripada 16,000 pelajar UNIMAS yang ada, dianggarkan hanya lebih 1,300 mengambil bidang kejuruteraan.
Beliau berkata UNIMAS setiap tahun hanya melahirkan hampir 500 graduan Fakulti Kejuruteraan yang terbahagi kepada beberapa program seperti Kejuruteraan Mekanikal, Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Awam dan banyak lagi.
Katanya jika dilihat dari segi jumlah keseluruhan pelajar kejuruteraan pada setiap tahun iaitu lingkungan 1,000, ia tidak mencukupi untuk menampung tenaga kerja kepada Sarawak khasnya pembangunan SCORE.
“Bagaimanapun dari segi perancangan kita akan sesuaikan penambahan pelajar ini dengan penambahan kakitangan akademik agar bilangan pelajar selaras dengan tenaga pengajar serta nisbah antara pengajar dan pelajar tidak terlalu besar,” kata Wan Hashim. - UB
UNIMAS Perkenal Program Baharu Kejuruteraan Elektrikal
Reviewed by JANUARIUS
on
October 09, 2014
Rating:
No comments: