Seo Services

Tangani Isu Kepupusan Budaya Dan Etnik

KUCHING: Majlis Penasihat Budaya Etnik (MPBE) ditubuh dalam usaha kerajaan negeri menangani isu kepupusan budaya etnik yang dilihat semakin membimbangkan.
Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom berkata, penubuhan majlis itu penting memandangkan rakyat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kumpulan etnik kini mengalami tempoh amat mencabar.
Menurutnya, rakyat Sarawak kini berdepan gelombang transformasi budaya yang mempunyai impak pelbagai kepada kehidupan seharian khususnya sosiobudaya.
“Satu impak yang amat membimbangkan ialah penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar untuk mendapat pekerjaan. Penghijrahan ini banyak memberi kesan negatif kepada sosiobudaya mereka terlibat.
“Satu aspek amat ketara ialah ancaman pencemaran bahasa ibunda sama ada secara bertulis atau pertuturan,” ujarnya ketika berucap pada majlis pelancaran MPBE di sini semalam.
Majlis itu disempurnakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Mawan yang juga Pengerusi MPBE berkata pencemaran bahasa ibunda jika tidak dikawal boleh menyebabkan kepupusan bahasa-bahasa etnik khasnya bahasa kaum minoriti seperti Kayan, Kenyah, Lun Bawang, Bidayuh, Melanau dan Iban.
Hakikatnya, ujar beliau, terdapat kira-kira empat bahasa etnik seperti Narum, Sihan, Lahanan dan Bukitan dikhuatiri akan pupus seperti yang berlaku terhadap bahasa Seru.
“Majlis ini bertindak sebagai badan penasihat kepada Unit Budaya Etnik yang ditubuhkan pada Februari tahun ini.
“Buat permulaan unit ini akan memberi keutamaan kepada usaha menangani masalah dan perkembangan bahasa Iban yang sekarang diajar di peringkat sekolah, institut perguruan dan universiti,” jelasnya.
Kementerian, tambah Mawan, bercadang mengembangkan unit itu bagi menangani perkara-perkara berkaitan kaum etnik lain pada masa hadapan.
Mengulas lanjut mengenai MPBE, beliau memberitahu ia dianggotai 35 ahli terdiri daripada pakar-pakar bahasa, ketua pertubuhan, bekas menteri dan ahli politik, bekas pegawai kerajaan, pendidik serta ketua-ketua masyarakat.
Sementara itu Jabu dalam ucapan perasmiannya menyifatkan MPBE sebuah organisasi penting yang bertanggungjawab khusus mengekal serta mempromosikan budaya dan dialek pelbagai etnik di Sarawak.
“Dialek, budaya dan tradisi kita sangat penting kerana ia berkaitan dengan identiti serta kewujudan bangsa kita dalam Malaysia. Oleh itu, usaha komprehensif dan kukuh amat perlu untuk memelihara serta mempromosikan elemen-elemen ini,” katanya.

Hadir sama Dato Sri Empiang Jabu, Menteri Muda Kemudahan Awam Datuk Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat. - UB
Tangani Isu Kepupusan Budaya Dan Etnik Tangani Isu Kepupusan Budaya Dan Etnik Reviewed by JANUARIUS on November 27, 2014 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.