BINTULU: Sebanyak RM37.3 juta diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi membantu golongan pekebun kecil getah yang terjejas di negeri ini berikutan kemerosotan harga komoditi.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan perkara tersebut berkata segala proses pengagihan bantuan khas berkenaan akan disegerakan bagi meringankan beban pekebun kecil terbabit.
"Keperihatinan kerajaan pusat terhadap situasi sukar yang dialami pekebun kecil berikutan kejatuhan harga getah sejak kebelakangan ini telah menjuruskan kepada keputusan untuk memperuntukkan bantuan khas tersebut."
Najib berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Henry Nuni Plen di Sungai Gelam, Sebauh, di sini hari ini.
"Kita peka dan prihatin terhadap detik sukar dialami mereka ketika ini dan akan berusaha menghulurkan bantuan yang sewajarnya dan berharap penyediaan bantuan ini dapat memberikan mereka suntikan semangat," katanya.
"Dari jumlah keseluruhan tersebut (RM37.3 juta), seramai 74,614 pekebun kecil (getah) di Sarawak akan menerima bantuan khas RM500 seorang," katanya sambil menambah, bantuan berkenaan membuktikan keprihatinan kerajaan Barisan Nasional (BN) terhadap golongan pekebun kecil di seluruh negara, termasuk di Sarawak, terutamanya penduduk pedalaman dan luar bandar.
"Ini membabitkan kerjasama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang cukup komited membantu pekebun kecil di negara ini, malah beberapa bentuk bantuan lain juga sedang diteliti," katanya.
Difahamkan, proses pengagihan bantuan khas tersebut oleh agensi-agensi berkaitan, termasuk RISDA agar menyegerakan penyaluran wang bantuan berkenaan serta memastikan ianya sampai kepada pekebun kecil.
Pada majlis yang sama, beliau juga mengumumkan peruntukan segera RM1.5 juta turut diluluskan Kerajaan Pusat bagi membiayai kos baikpulih rumah panjang berkenaan, selain pembinaan tembok penahan hakisan tebing sungai dan projek tebatan banjir.
Ianya adalah sebahagian daripada 'hadiah' kepada penduduk rumah panjang berkenaan yang sekian lama menjadi kubu kuat BN.
Difahamkan, penumpuan diberikan kepada pelbagai projek penyediaan kemudahan asas rakyat, termasuk Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang dijanjikan dalam pilihan raya sebelum ini.
Najib juga turut diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, khusus bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini, terutama di kawasan pedalaman dan luar bandar.- Sarawakiana
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal, Menteri Kerja Jaya Datuk Seri Haji Fadillah Yusuf dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas.
RM37.3 Juta Untuk Pekebun Kecil Getah Di Sarawak
Reviewed by Salfian Nawawi
on
March 30, 2015
Rating:
No comments: