Seo Services

Sikap Berlebihan Dalam Berpolitik Tidak Wajar, Perlu Dielak - Titah Agong


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah sikap berlebih-lebihan dalam berpolitik adalah tidak wajar dan hendaklah dielakkan.

Titah Seri Paduka sebarang perbalahan dan perpecahan akan hanya merugikan, bak kata pepatah Melayu lama, 'yang menang akan menjadi arang, yang kalah pula menjadi abu'.

"Bahkan, pihak-pihak lainlah yang akan mendapat keuntungan. Justeru, Beta menyeru agar semua berwaspada dan beringat-ingat," titah baginda pada majlis menghadap dan istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat persekutuan bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara, di sini Sabtu.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta tetamu kehormat dan duta-duta.

Sebanyak 31 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan daripada 1,773 keseluruhan penerima, menerima pingat kebesaran masing-masing hari ini.

Sehubungan itu, Tuanku Abdul Halim menitahkan jangan sesiapa pun mudah berasa lalai dan lupa hakikat sejarah, tentang bagaimana asal-usul negara dibina, perjuangan-perjuangan terdahulu serta hal-hal teras yang telah diputus dan dimeteraikan.

Baginda turut berharap semua pihak memberi ruang dan kesempatan kepada perdana menteri serta kerajaan supaya sebarang kekusutan yang ada dapat dirungkaikan.

"Apa-apa kelemahan yang wujud di sana-sini, dapat dibetulkan dan diperbaiki," titah baginda.

Baginda turut menzahirkan sukacita kerana kepimpinan kerajaan mempunyai peta wawasan dan kerangka pengurusan negara yang jelas dengan objektif mencapai kemajuan melalui Dasar Transformasi Nasional.

Melalui Laporan Tahunan Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi, titah baginda, Malaysia sedang berada pada kedudukan dan landasan yang kukuh menuju ke sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Beta diberi maklum bahawa Petunjuk Prestasi Utama (KPI) keseluruhan bagi Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA menjangkau 105 peratus manakala KPI keseluruhan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) pula mencapai 110 peratus," titah Seri Paduka.

Baginda turut menzahirkan kepercayaan bahawa kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun ini akan membawa manfaat sosioekonomi yang besar kepada negara untuk tempoh jangka panjang.

Dalam titah baginda berhubung Rancangan Malaysia Ke-11 yang dibentangkan perdana menteri baru-baru ini dengan menyasarkan pelbagai usaha bagi tempoh lima tahun akan datang bermula 2016, baginda berharap kerajaan berikhtiar bersungguh-sungguh.

Langkah itu bagi memastikan tiada golongan rakyat tercicir daripada menikmati manfaat kemakmuran dan arus pembangunan negara, titah Seri Paduka, yang turut menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan kerajaan di bawah kepimpinan Najib bersama Muhyiddin. - Bernama
Sikap Berlebihan Dalam Berpolitik Tidak Wajar, Perlu Dielak - Titah Agong Sikap Berlebihan Dalam Berpolitik Tidak Wajar, Perlu Dielak - Titah Agong Reviewed by Salfian Nawawi on June 06, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.