Seo Services

Tangani Penagihan Dadah: Elak Bersikap 'Not Me Syndrome' - Najib


KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mengelakkan daripada bersikap 'not me syndrome', sebaliknya bersama memainkan peranan dalam memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu dadah di komuniti masing-masing.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam membanteras penagihan dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara bebas dadah.

"Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan gejala dadah.

"Masalah dadah boleh menimpa sesiapa sahaja, ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang," katanya dalam perutusan bersempena Hari Anti Dadah Antarabangsa 2015, di sini hari ini.

Selain itu katanya, kejayaan membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalan-amalan terbaik dan 'evidence-based'.

"Sudah sampai masanya kita menentukan dasar berkaitan dadah yang dinamik mengikut perkembangan masalah dadah semasa," kata Najib.

Katanya ancaman dadah berbahaya dan bahan-bahan yang mengkhayalkan berubah dengan pesat mengikut arus perkembangan teknologi dan cara hidup manusia.

Beliau berkata justeru pembangunan ekonomi negara juga perlu selari dan seimbang dengan pembangunan sosial modal insan.

"Oleh itu pelaburan sosial perlu dipertingkatkan segera meliputi pendidikan, pembangunan individu dan keluarga, pembangunan rohani dan jasmani serta peningkatan daya tahan dalam semua program dan aktiviti," katanya.

Perdana menteri berkata kerajaan melihat perkara itu dengan teliti kerana matlamat untuk mencapai status negara maju pada 2020 akan terbantut jika masalah keruntuhan moral dan sosial menjadi barah dalam kalangan anak-anak muda.

Tema sambutan hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini ialah 'A Message of Hope: Drug Use Disorders Are Preventable and Treatable', yang memberi harapan bahawa penyalahgunaan dan penagihan dadah boleh dicegah dan dirawat. - Bernama
Tangani Penagihan Dadah: Elak Bersikap 'Not Me Syndrome' - Najib Tangani Penagihan Dadah: Elak Bersikap 'Not Me Syndrome' - Najib Reviewed by Salfian Nawawi on June 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.