KUCHING: Hari Gawai Dayak yang diketahui ramai sebagai Pesta Menuai disambut meriah dengan budaya 'ngabang' iaitu amalan kunjung mengunjung antara anggota keluarga terdekat, serta rakan taulan dari pelbagai bangsa dan agama.
'Ngabang' memaparkan keunikan tersendiri kerana ia membawa mesej amat jelas tentang betapa pentingnya semangat toleransi dikekalkan demi penyatuan dan keharmonian rakyat di negara ini.
Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib tidak ketinggalan mengekalkan tradisi ngabang ini apabila mengadakan kunjungan ke Rumah Terbuka Gawai Dayak bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Begunan, Donald Lawan di sini.
Abdul Taib dan isteri kemudiannya ngabang ke kediaman Menteri Muda Kesihatan Awam yang juga Adun Bengoh, Datuk Dr Jerip Susil di Batu Lintang.
Turut sama berkunjung ke rumah Dr Jerip ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan isteri Puan Sri Jamilah Anu, serta anggota Kabinet negeri.
Esok Timbalan Ketua Menteri Sarawak yang juga Adun Layar, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dijadual mengadakan Rumah Terbuka Gawai Dayak bertempat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong.
Majlis akan turut dihadiri Adenan dan isteri.
Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Gawai Dayak peringkat negeri anjuran komuniti Dayak Bidayuh menerusi Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA), Rabu (3 Jun) ini.
Gawai Dayak disambut secara tradisinya sebagai tanda mensyukuri hasil tuaian padi dan kerajaan Sarawak mengisytiharkan 1 dan 2 Jun setiap tahun sebagai cuti umum bagi meraikannya. - Bernama
Tradisi 'Ngabang' Papar Semangat Toleransi, Meriahkan Sambutan Gawai Dayak
Reviewed by Salfian Nawawi
on
June 02, 2015
Rating:
No comments: