KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) menstruktur semula fungsinya sesuai dengan gerakan transformasi kerajaan sebagai pemangkin industri perkayuan negeri, kata Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan.
Beliau berkata melalui penstrukturan semula itu, tumpuan diberikan kepada tiga fungsi utama iaitu pendaftaran syarikat dan kilang, pengeluaran permit eksport and import dan kerja pemeringkatan kayu.
Katanya sejak Pusaka ditubuhkan 42 tahun yang lalu, industri perkayuan Sarawak telah melalui proses transformasi mengikut arus perkembangan dunia dan keadaan persekitaran.
"Pusaka kini menjadi organisasi yang lebih matang dan berwibawa untuk memimpin pembangunan industri perkayuan negeri Sarawak," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan tahunan berjumlah RM266,000 daripada Pusaka dan anak-anak syarikatnya kepada 59 pertubuhan kebajikan dan badan bukan kerajaan (NGO) di sini, Jumaat.
Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka berkata, kerajaan negeri akan terus mengambil langkah proaktif dengan pematuhan peraturan perdagangan, prosedur pengeksportan dan piawaian produk sebagai usaha untuk mengukuh pasaran produk perkayuan tempatan di peringkat global.
Selain itu, katanya kerajaan negeri sedang giat mempromosikan pelaburan terus syarikat tempatan dan asing dalam industri memproses spesies kayu dari ladang hutan bagi memperkasakan industri pembangunan perkayuan di Sarawak.
Antara industri yang boleh dibangunkan untuk memproses sumber dari ladang hutan ialah industri pulpa dan kertas, industri perabot, papan gentian dan kayu racik, tambahnya.
Beliau berkata hasil daripada kejayaan pengurusan hutan lestari, industri perkayuan di Sarawak sehingga kini masih mampu menggunakan sepenuhnya sumber balak dari hutan asli dan industri perkayuan mampu kekal menjadi penyumbang kepada pendapatan eksport Sarawak.
Selaras dengan itu, katanya Pusaka turut memberi tumpuan kepada pelaburan untuk memastikan pendapatan atau hasil Pusaka terus kekal meningkat agar dapat meneruskan agenda kerajaan negeri sebagai sebuah daripada badan berkanun yang mampu membiayai sebahagian daripada projek utama negeri Sarawak, khususnya di Tanjung Manis.
"Ini dilakukan melalui penglibatan aktif Pusaka Capital dalam pelaburan-pelaburan yang strategik yang menguntungkan di Bandar Baru Tanjung Manis, yang antaranya ialah projek industri berkelompok kelapa sawit," kata beliau.
Menurut Awang Tengah lagi, Pusaka Capital telah mengadakan projek secara usaha sama dengan KTS Group untuk melaksanakan projek CPO Bulking Facilities.
Projek ini menurut beliau dianggarkan melibatkan pelaburan berjumlah RM69.5 juta.
Selain itu, katanya Pusaka Capital juga turut terlibat dalam projek pembinaan perumahan untuk anggota kerajaan di Tanjung Manis dengan kos berjumlah RM95 juta.
Katanya, kerajaan negeri juga telah mempertanggungjawabkan Pusaka dengan bidang tugas lain termasuk membangunkan prasarana bagi projek Hab Halal Tanjung Manis dengan kerjasama Unit Hab Halal di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.
Menurutnya, Projek Hab Halal Tanjung Manis merupakan hab halal terbesar di Malaysia yang bercirikan konsep mesra alam sejajar dengan hasrat negara dalam membasmikan kemiskinan, jaminan makanan serta pemprosesan makanan dan produk halal ke seluruh dunia.- BERNAMA
Pusaka Struktur Semula Fungsi Untuk Rangsang Industri Perkayuan
Reviewed by Unknown
on
July 03, 2015
Rating:

No comments: