Seo Services

Lelaki OKU Dalangi Geng Pecah Rumah Di Kuching Diberkas


KUCHING: Polis telah berjaya menahan seramai 13 orang suspek termasuk seorang lelaki OKU yang berusia 37 -tahun yang dipercayai sebagai dalang utama kumpulan pecah rumah yang bergiat aktif di Bandaraya Kuching ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontijen Sarawak, SAC Dev Kumar berkata, tujuh dari individu yang ditahan tersebut adalah suspek pembeli barangan curi.

Menurut beliau, tangkapan tersebut telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Bahagian Operasi Khas (D8) dan Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Kontijen Sarawak (IPK Sarawak) yang diketuai ASP Shuib Abd Samat.

"Suspek utama seorang lelaki kurang upaya dimana tangan sebelah kiri yang tidak berfungsi dan mempunyai rekod kesalahan lampau iaitu samun dan difahamkan telah dijatuhkan hukuman penjara selama empat tahun dan menerima tiga kali sebatan pada tahun 2010."

Beliau menambah, hasil daripada tangkapan suspek, polis berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes pecah rumah, dua kes samun di sekitar kawasan Kuching dan arahan tahanan reman selama tujuh hari telah dikeluarkan kepada 10 orang.

Menurutnya, suspek berumur lingkungan 26 hingga 37 tahun itu, dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan jenayah samun pecah rumah sekitar Kuching.

“Polis telah merampas beberapa barangan seperti telefon bimbit, dan komputer riba. Selain daripada itu, pihak polis berjaya merampas harta curi yang lain, iaitu beberapa buah televisyen, iPad, telefon bimbit dan jam tangan," katanya sambil menambah beberapa senjata berbahaya dan peralatan pecah rumah turut dirampas.

Dev Kumar berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching disini hari ini.

“Kes disiasat di bawah seksyen 457 (pecah rumah) Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan penjara tidak melebihi lima tahun, seksyen 394 (samun) Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan."

"Sementara suspek yang disyaki membeli atau memiliki barangan curi disiasat di bawah Seksyen 411 (memiliki harta curi)Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.

Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Roslan Bek Ahmad. - Sarawakiana



Lelaki OKU Dalangi Geng Pecah Rumah Di Kuching Diberkas Lelaki OKU Dalangi Geng Pecah Rumah Di Kuching Diberkas Reviewed by Unknown on September 09, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.