KUCHING : Kementerian Pendidikan Malaysia telah menubuhkan jawatankuasa baharu iaitu jawatankuasa utiliti bagi menyelesaikan isu-isu permasalahan yang dihadapi oleh sekolah di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Pendidikan II Kamalanathan P. Panchanathan berkata, tujuan utama jawatankuasa ini ditubuhkan adalah untuk membantu kementerian pendidikan dalam projek-projek utiliti seperti bekalan elektrik, air dan sebagainya.
“Jawatankuasa utiliti ini akan diketuai oleh Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak Rakayah Haji Madon dan ahli-ahlinya terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta yang akan membantu dalam menyelesaikan isu-isu permasalahan yang dihadapi oleh sekolah di Sarawak,” katanya
Beliau berkata sedemikan semasa dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat bersama pucuk pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan Negeri Sarawak di Bilik Mesyuarat Pengarah, Aras 4, Jabatan Pendidikan Sarawak, Kuching hari ini.
Sebelumnya, Kamalanathan juga telah melawat ke SK Gita 2 untuk mengucapkan selamat berjaya kepada pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR yang telah masuk hari kedua.
“Saya dimaklumkan sebanyak 369 buah sekolah yang masih lagi menggunakan genset. Walaubagaimanapun, kita telah mengenalpasti 130 buah sekolah yang masih menggunakan genset akan dibekalkan sambungan elektrik serta merta.”
Selain itu, beliau juga berterima kasih kepada pihak Sarawak Energy Berhad (SESCO) kerana telah mengambil inisiatif untuk membantu dalam menyelesaikan masalah elektrik terutamanya di sekolah luar Bandar.
Ketika ditanya mengenai status projek pembangunan sekolah yang terbengkalai, beliau berkata terdapat dua buah sekolah yang masih tergendala projek pembangunannya iaitu SMK Song dan SK Singgai dimana kontrak pemaju yang mengendalikan projek tersebut dihentikan atas sebab-sebab tertentu.
“Jabatan Kerja Raya telah mengambil alih projek ini dan mereka akan mengeluarkan tender dalam masa yang terdekat untuk pemaju-pemaju yang baru. Projek ini dijangka akan siap pada akhir tahun 2016 paling awal atau pertengahan tahun 2017 paling lewat.” jelas beliau
Beliau menyatakan amat kecewa terhadap pemaju-pemaju yang diberi projek lebih awal kerana gagal menunaikan janji dan akan memastikan pemaju seumpama itu tidak akan diberi peluang lagi dalam sebarang projek kementerian pendidikan.
Turut pada sidang media tersebut ialah Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Haji Madon dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus. - Sarawakiana.
Jawatankuasa Utiliti Ditubuh Untuk Atasi Isu Permasalahan Sekolah
Reviewed by Unknown
on
September 09, 2015
Rating:

No comments: