KUCHING: Pusat Khidmat PBB Pantai Damai tetap komited dalam memberi keutamaan membantu masyarakat setempat, khususnya dari kawasan Pantai Damai untuk mendapat pendidikan pada tahap yang tertinggi.
ADUN Pantai Damai Dr Haji Abdul Rahman Junaidi berkata, memperkasakan anak-anak dan generasi muda dengan pendidikan adalah satu pelaburan dalam mempersiapkan mereka untuk mencapai mutu kehidupan yang lebih baik.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Pelajar IPT & Kebajikan di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat ADUN Pantai Damai, Jalan Haji Taha di Kuching di sini hari ini.
"Kita memahami situasi yang dialami oleh kalangan ibu bapa, apabila anak-anak mereka mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke pusat pengajian tinggi ianya akan membebankan mereka dan bantuan yang kami salurkan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan bebanan kewangan mereka."
"Ianya adalah cabaran lanjutan pada ibu bapa, maka itu, ibubapa seharusnya sabar dan tabah dalam melalui dugaan ini," katanya lagi.
Terdahulu, Rahman mengucapkan tahniah kepada seramai 30 orang penerima bantuan berjumlah RM10,700 yang berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian baik di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan luar negara dan beberapa individu yang mendapat bantuan kebajikan.
Beliau menjelaskan, ianya sudah menjadi kelaziman bagi pusat khidmat beliau mengadakan sesi penyampaian bantuan sebanyak dua kali sebulan kepada mereka yang mendapat tempat di IPT dan permohonan bantuan kebajikan, khususnya untuk membiayai kos perubatan.
"Program bantuan sebegini yang diselia oleh Biro Pendidikan DUN Pantai Damai telah diadakan dalam tempoh hampir dua dekad membantu mereka yang ingin melanjutkan pelajaran ke IPTS atau menara gading dan ini selari dengan slogan kami iaitu "Satu Keluarga Seorang Graduan", khususnya bagi masyarakat di Pantai Damai."
Ditanya sama ada sasaran DUN Pantai Damai (Satu Keluarga Seorang Graduan) sudah pun tercapai atau sebaliknya, Rahman berkata, secara spesifik jumlah mereka yang memohon bantuan melanjutkan pelajaran semakin meningkat setiap kali sesi penyampaian bantuan dan ini menunjukkan masyarakat sudah sedar akan pentingnya pendidikan dalam kehidupan.
"Sebenarnya, kepuasan bagi saya adalah apabila saya membuat lawatan ke rumah-rumah penduduk di Pantai Damai dan terlihat sijil-sijil IPTS atau menara gading yang bergantung di dinding rumah mereka .. maka saya tahu, sedikit-sebanyak kami telah berjaya membantu mereka mendapatkan kejayaan tersebut," katanya lagi. - Sarawakiana
PBB Pantai Damai Tetap Komited Perkasakan Pendidikan Rakyat
Reviewed by Salfian Nawawi
on
September 11, 2015
Rating:

No comments: