Seo Services

287 Penduduk Terjejas Akibat Angin Kencang


BINTULU: Kejadian angin kencang melanda daerah Tatau pada jam 2 pagi semalam merosakkan lebih 31 rumah di Kampung Dagang termasuk lima rumah di Taman Ting Park, masjid dan 10 rumah kedai melibatkan 287 penduduk.

Kejadian yang menimbulkan ketakutan dan panik di kalangan penduduk, bukan sahaja menerbangkan atap rumah, malah turut menumbangkan beberapa pokok sehingga menimpa rumah penduduk dan tiang elektrik menyebabkan berlakunya gangguan elektrik.

Menurut maklumat dikeluarkan Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Negeri Sarawak, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu sekitar jam 2.24 pagi dan sejurus itu Balai Bomba dan Penyelamat Tatau diketuai Pegawai Bomba Tinggi (PBT) Azrel Izaidi serta pegawai bertugas bergegas ke lokasi.

“Kami terus membuat pemantauan dan membantu penduduk terjejas sama ada operasi ke pusat pemindahan sementara yang sudah mulai dibuka 24 jam di Dewan Sukan Tatau atau bantuan lain diperlukan bagi membantu mangsa,” katanya.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Adat Bumiputera dan Penan) Datuk John Sikie Tayai pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat tergempar bencana itu di Pejabat Daerah Tatau berkata, semua mangsa menerima bantuan sewajarnya bagi membolehkan bantuan segera disalurkan.

Katanya mangsa terjejas harus membuat laporan ke saluran sewajarnya bagi membolehkan bantuan susulan diberikan.

Jelasnya, kejadian ribut disifatkan terburuk dalam sejarah daerah Tatau itu memerlukan semua pihak bersabar dan reda dengan apa yang berlaku dan meneruskan kehidupan seperti biasa serta memperbaiki kerosakan rumah.

“Difahamkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Bintulu tampil memberi bantuan makanan serta keperluan asas diperlukan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut memberi bantuan mengenal pasti rumah terjejas teruk,” jelas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Sikie berharap penduduk terjejas reda dengan apa berlaku dan tidak berputus asa atau bersedih sebaliknya bekerjasama memperbaiki kerosakan dialami sementara menunggu bantuan pihak berwajib.

Salah seorang penduduk Ketua Kampung Dagang Satim Gapar, 62, berkata semasa kejadian beliau dan semua ahli keluarganya nyenyak tidur namun mendengar bunyi ribut kuat.

“Saya berasa tidak sedap hati terus bangun dan mengejutkan ahli-ahli keluarga dan berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan fenomena ribut kuat luar biasa itu,” katanya.

Beliau dan keluarganya berasa amat terkejut apabila rumah mereka terasa bergegar dan mereka turun ke bahagian bawah rumah bagi menyelamatkan diri.

“Kami sekeluarga tidak pasti apa yang berlaku di bahagian atas rumah dan sebaik ribut teduh, saya terkejut melihat bahagian bumbung diterbangkan ribut kuat,” ujarnya.

Kejadian ribut kuat melanda daerah Tatau tidak pernah seteruk ini dan banyak memusnahkan rumah dan kediaman penduduk khususnya di Kampung Dagang.

Beliau turut berharap bantuan disalurkan kepada penduduk terjejas secepat mungkin terutama bantuan makanan dan perubatan memandangkan ia keperluan mendesak.

Ketika laporan ini ditulis belum dapat dipastikan jumlah sebenar mangsa ditempatkan di Dewan Sukan Tatau memandangkan sesetengah rumah kediaman mereka dapat diperbaiki dan ada yang berteduh sementara di rumah saudara mereka.

Mujurlah tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku akibat bencana alam ini.-UB

287 Penduduk Terjejas Akibat Angin Kencang 287 Penduduk Terjejas Akibat Angin Kencang Reviewed by Unknown on October 27, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.