Seo Services

300 Penghuni Rumah Panjang Nunong Menggeris Tinggal Sehelai Sepinggang


KABONG: Seramai 300 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila sebuah rumah panjang 32 pintu musnah dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 6 pagi Sabtu.

Rumah Nunong Menggeris yang terletak kira-kira 25 kilometer dari sini musnah dijilat api dalam tempoh tidak sampai 30 minit ekoran cuaca kering dan berjerebu ketika ini.

Tuai Rumah Nunong Angking, 80, ketika ditemui Utusan Sarawak menjelaskan kebakaraan tersebut disedarinya dan anaknya yang baru keluar dari rumah panjang berkenaan kerana hendak pergi ke bandar Sarikei.

“Ketika berada di luar rumah anak saya menjerit memberitahu bahawa ada kebakaran yang berlaku yang bermula dari bilik atas bahagian hujung rumah panjang," jelasnya.

"Saya dan anak saya terus berteriak mengejutkan penghuni rumah panjang yang ketika itu kebanyakkannya masih belum keluar rumah dan ada antara mereka masih tidur,” ujarnya.

Seorang lagi penghuni, Tumah anak Cheling, 60, antara yang mula-mula menyedari kebakaran itu memberitahu api marak dengan begitu cepat kerana angin bertiup agak kuat pada ketika itu.

Malah jelas Tumah dia sendiri hanya sempat menyelamatkan dokumen penting keluarga kerana api telah marak dengan pantas memusnahkan rumah panjang berkenaan.

Usaha menghubungi pihak bomba dilakukan oleh Michael Juan anak Latih, 58, dengan menghubungi talian kecemasan 999 pada kira-kira jam 6.15 pagi.

Menurut Michael Juan itu sahaja nombor yang dia ingat dan terlintas difikirannya ketika berdepan kedaan kelam-kabut itu.

Ketua Balai Bomba Saratok, Mohd Darul Azreen memberitahu pihaknya menerima panggilan tentang kejadian pada jam 6.30 pagi.

“ Pasukan kami dengan sebuah jentera pemadam api bersama lapan anggota tiba ditempat kejadian jam 7.10 pagi.

Tekanan air yang rendah menyukarkan pihak kami melakukan usaha memadam kebakaran tersebut dengan cepat.

Pihak kami akhirnya terpaksa mengepam air dari parit berdekatan dalam usaha memadam kebakaran,” ujarnya.

Api berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi namun rumah panjang berkenaan telah musnah bersama harta benda penghuni.

Ketua Balai Polis Kabong, Sarjan Sila Labang yang turut berada di tempat kejadian memberitahu siasatan bagi mengetahui punca kebakaran sedang dilakukan.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Jumlah kerugian juga jelas Sila belum dapat ditaksir. Kesemua mangsa kini diuruskan oleh pihak pejabat daerah dengan membawa mangsa terlibat tragedi ke Dewan Masyarakat Nyabor yang menjadi tempat pemindahan ketika ini.

Bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga turut disalurkan untuk mangsa.

Pegawai Daerah Kabong, Kamaludin Haji Alkap memberitahu mangsa akan ditempatkan sementara untuk beberapa hari di Dewan Masyarakat Nyabor sementara menunggu tindakan seterusnya diambil terutama bantuan dari segi material bagi menyediakan semula tempat tinggal mangsa.

Bantuan berupa makanan dan pakaian serta keperluan lain akan turut disalurkan kepada mangsa dalam kadar segera.-UTUSAN SARAWAK
300 Penghuni Rumah Panjang Nunong Menggeris Tinggal Sehelai Sepinggang 300 Penghuni Rumah Panjang Nunong Menggeris Tinggal Sehelai Sepinggang Reviewed by Unknown on October 26, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.