Seo Services

#Bajet2016 Pembaharuan Ekonomi Yang Dilakukan Sejak Beberapa Tahun Lalu Kukuhkan Daya Tahan Ekonomi Domestik - Najib


KUALA LUMPUR: Pembaharuan ekonomi, kewangan dan fiskal yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu telah mengukuhkan daya tahan ekonomi domestik dalam menghadapi cabaran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata ekonomi negara telah beralih daripada negara berasaskan komoditi kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan.

"Walaupun sektor luar kekal penting, pertumbuhan ekonomi kini semakin dipacu oleh permintaan domestik. Asas makroekonomi negara terus kukuh, termasuk inflasi yang terkawal, pasaran pekerjaan yang menggalakkan, rizab asing yang kukuh, lebihan akaun semasa dan tabungan negara yang tinggi.

"Sistem perbankan yang teguh dan pasaran modal yang pesat membangun terus menyediakan mudah tunai mencukupi untuk membiayai aktiviti ekonomi negara tanpa sebarang gangguan," katanya dalam prakata Laporan Ekonomi 2015/16.

Najib berkata faktor positif ini berserta dengan dasar kerajaan yang pro-pertumbuhan dan mesra perniagaan telah meletakkan ekonomi negara pada trajektori pertumbuhan yang kukuh selain mengurangkan kesan daripada ketidaktentuan global.

"Dengan fundamental ekonomi yang teguh dan dasar kewangan akomodatif, ekonomi Malaysia terus berkembang 5.3 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun 2015 (Januari-Jun 2014: 6.4 peratus). Pertumbuhan ini dipacu oleh permintaan domestik berdaya tahan meskipun dalam pertumbuhan global yang menyederhana dan permintaan luar yang lebih perlahan.

"Justeru, ekonomi negara dijangka berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus bagi tahun 2015 dan akan terus berkembang pada tahun 2016," katanya.

Perdana Menteri berkata ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan persekitaran luar yang lebih mencabar pada tahun 2015.

"Cabaran ini termasuk pertumbuhan global yang menyederhana dengan kadar pemulihan yang sederhana di negara maju dan pertumbuhan perlahan dalam kalangan pasaran pesat berkembang dan ekonomi membangun; penurunan harga komoditi; peningkatan volatiliti dalam pasaran kewangan dan ketidaktentuan normalisasi kadar faedah di Amerika Syarikat.

"Di peringkat serantau, ekonomi China yang lebih perlahan berikutan usaha pengimbangan semula ke arah pertumbuhan yang lebih mapan, telah memberi kesan kepada rakan dagang utama," katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan akan terus melaksanakan keseimbangan antara usaha menyokong momentum pertumbuhan dan inisiatif pembaharuan yang berterusan serta memastikan kedudukan kewangan awam kekal kukuh.

"Walaupun pragmatik, kerajaan berani untuk membuat keputusan yang sukar. Mengambil kira ketidaktentuan dalam persekitaran luar, terutamanya kejatuhan harga minyak mentah yang menjejaskan hasil kerajaan, sasaran fiskal bagi tahun 2015 disemak semula daripada tiga peratus kepada 3.2 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)," katanya.

Walaupun berdepan persekitaran yang mencabar, beliau berkata kerajaan kekal komited terhadap pengukuhan fiskal ke arah mencapai bajet berimbang menjelang tahun 2020.

Katanya sehubungan itu, kerajaan akan terus mengambil langkah bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam perbelanjaan tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan serta menggalakkan pematuhan cukai.

"Kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan kerajaan dan kemakmuran negara wajar dinikmati segenap lapisan masyarakat. Inisiatif transformasi yang dimulakan sejak 2010 dan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) yang dilancarkan pada Mei tahun ini jelas mencerminkan keutamaan kerajaan dan memastikan negara terus mencapai pertumbuhan yang inklusif dan mapan," katanya.

Najib berkata dalam ketidaktentuan persekitaran luar, Bajet 2016 yang merupakan belanjawan pertama di bawah RMK11 akan memberi penekanan kepada langkah mengukuhkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata Malaysia kekal berada pada landasan yang betul ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 walaupun berhadapan ketidaktentuan semasa persekitaran luar.

"Ini adalah hasil daripada kejayaan dasar negara, terutamanya Program Transformasi Negara (NTP) yang bermula pada 2010. Pencapaian ketara termasuk pembasmian kemiskinan kepada 0.6 peratus pada tahun 2014, pewujudan 1.8 juta peluang pekerjaan, pertumbuhan 34 peratus Pendapatan Negara Kasar (PNK) dan peningkatan 82 peratus pelaburan swasta sejak tahun 2010 hingga tahun 2014, serta peningkatan kedudukan daya saing global negara dari tangga ke-20 ke tangga ke-18 berdasarkan Global Competitiveness Report 2015-2016," katanya.

Beliau berkata negara telah melalui pelbagai krisis pada masa lalu dan mengambil iktibar, melaksanakan langkah pemulihan bagi memastikan pertumbuhan serta melakukan pembaharuan untuk meningkatkan daya tahan dan daya saing ekonomi.

"Asas ekonomi kini lebih kukuh berbanding semasa Krisis Kewangan Asia 1997/1998. Kesemua inisiatif ini meletakkan negara di kedudukan yang lebih baik untuk menghadapi situasi yang sukar. Kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk memastikan ekonomi terus berkembang dan meningkatkan lagi kesejahteraan rakyat," katanya.

Perdana Menteri berkata di peringkat serantau, penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) menjelang akhir tahun ini akan memberi manfaat kepada semua negara anggota.

"AEC akan membuka peluang kepada individu dan perniagaan melalui pergerakan barangan, perkhidmatan, pekerja mahir dan modal dengan lebih bebas. Oleh itu, perniagaan dan usahawan tempatan harus merebut peluang yang ditawarkan oleh ASEAN yang lebih terbuka dan liberal. Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia akan memainkan peranan utama dalam merealisasikan visi komuniti ASEAN yang bersepadu dari segi ekonomi," katanya. - BERNAMA
#Bajet2016 Pembaharuan Ekonomi Yang Dilakukan Sejak Beberapa Tahun Lalu Kukuhkan Daya Tahan Ekonomi Domestik - Najib #Bajet2016 Pembaharuan Ekonomi Yang Dilakukan Sejak Beberapa Tahun Lalu Kukuhkan Daya Tahan Ekonomi Domestik - Najib Reviewed by uMieySurianie on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.