Seo Services

#Bajet2016 : Terus Tekankan Ekonomi Keperluan Rakyat


KUALA LUMPUR - Bajet 2016 akan terus menekankan ekonomi keperluan rakyat dengan mengukuhkan daya tahan ekonomi negara ke arah mencapai kemakmuran negara dan peningkatan kesejahteraan rakyat walaupun wujud ketidaktentuan dan ketidakpastian persekitaran ekonomi luaran.

Menurut Laporan Ekonomi 2015/2016, pelbagai inisiatif Bajet 2016 disokong dengan asas ekonomi yang mantap akan membantu negara mengharungi cabaran luaran sekali gus membolehkan ekonomi mencatatkan pertumbuhan yang kukuh pada tahun 2016.

"Bajet 2016 yang merupakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) akan memberi penekanan kepada nilai inovasi terutamanya pelaksanaan program dan projek dengan pantas, kos rendah dan berimpak tinggi," menurut laporan itu.

Laporan ekonomi itu menyebut kedudukan luaran Malaysia dijangka kekal positif bagi tahun 2016 disokong dengan jangkaan prestasi pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang lebih baik.

Ekonomi Malaysia dijangka kekal kukuh tahun depan dengan mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) benar antara empat hingga lima peratus, diterajui permintaan domestik.

Perbelanjaan sektor swasta pula akan kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi dengan penggunaan swasta dijangka berkembang sebanyak 6.4 peratus, manakala pelaburan swasta sebanyak 6.7 peratus.

"Sementara perbelanjaan kerajaan diunjur berkembang walaupun pada kadar sederhana, sejajar dengan usaha untuk mengukuhkan kedudukan fiskal. Dari segi penawaran, pertumbuhan ekonomi dijangka lebih menyeluruh dengan semua sektor mencatat pertumbuhan positif," kata laporan itu.

Pendapatan Negara Kasar (GNI) nominal per kapita juga dijangka meningkat 5.6 peratus daripada RM36,397 pada tahun 2015 kepada RM38,438 pada tahun 2016 dengan jumlah pelaburan melebihi simpanan, jurang tabungan pelaburan dijangka mengecil antara 0.5 hingga 1.5 peratus daripada GNI.

Menurut laporan itu, ekonomi akan terus beroperasi dalam keadaan guna tenaga penuh dengan kadar pengangguran kekal di bawah empat peratus.

Walaupun nilai ringgit menyusut, inflasi dijangka kekal rendah dengan unjuran dalam lingkungan dua hingga tiga peratus disumbang oleh harga minyak mentah yang rendah selain kesan GST yang mereda.

Defisit fiskal pula dijangka terus berkurangan kepada 3.1 peratus daripada KDNK pada tahun 2016 manakala tahap hutang kerajaan persekutuan dijangka kekal terkawal dalam had berhemat iaitu 55 peratus daripada KDNK.

Sementara itu, laporan itu menyebut ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada separuh pertama 2015, dipacu permintaan domestik yang berdaya tahan.

Akaun semasa mencatatkan lebihan sebanyak RM17.6 bilion atau 3.2 peratus daripada GNI pada separuh pertama tahun ini. - Bernama
#Bajet2016 : Terus Tekankan Ekonomi Keperluan Rakyat #Bajet2016 : Terus Tekankan Ekonomi Keperluan Rakyat Reviewed by Unknown on October 23, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.