Seo Services

Graduan ILP Disaran Jadi Ejen Transformasikan Sektor Pertanian


SERDANG – Graduan Institusi Latihan Pertanian (ILP) disaran menjadi ejen mentransformasikan sektor pertanian dengan kekal berkecimpung dalam industri agro makanan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebagai harapan baharu kepada usaha kerajaan menjayakan transformasi sektor pertanian, lepasan ILP perlu berani mengambil risiko mengubah paradigma bahawa pertanian adalah bidang untuk ‘orang tua’.

“Trend hari ini menunjukkan hanya 15 peratus mereka yang berusia 40 tahun ke bawah menceburi bidang pertanian…ertinya orang muda masih berfikir pertanian bukan lapangan sesuai buat mereka, sebaliknya bidang bagi orang tua.

“Tetapi, dengan komitmen kerajaan, latihan kemahiran yang dipelajari serta semangat untuk berubah, saya percaya anak-anak muda, terutamanya graduan ILP akan mengubah landskap itu dengan memilih pertanian sebagai kerjaya utama mereka selepas ini,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvokesyen Pertanian ke-5 di Taman Agro Pelancongan (MAEPS) di sini hari ini.

Seramai 1,296 graduan yang mengikuti Program Diploma Kemahiran Malaysia, Program Latihan Sijil Pertanian Malaysia dan Sijil Perkhidmatan Veterinar menerima diploma dan sijil masing-masing.

Dalam menjamin bekalan makanan dan menjana pendapatan tinggi melalui kerjaya dalam bidang pertanian, Ahmad Shabery berkata peningkatan produktiviti modal insan adalah antara perkara utama yang perlu diberi penekanan, antaranya memperkasakan lagi kualiti dan penyampaian Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Untuk itu, beliau berkata kementerian akan membangunkan modul pembelajaran yang lebih khusus seperti akuakultur marin, kejuruteraan laut, hatceri dan penyediaan makanan ikan bermula tahun depan di Kolej Perikanan Malaysia (KPLM) miliknya di Lumut, Perak.

Dengan pemerkasaan TVET, ia juga membantu meningkatkan lagi kebolehpasaran graduan ILP selaras dengan komitmen memenuhi Dasar Agromakanan Negara dalam menjamin pengeluaran makanan menjelang 2020, katanya.

Pada majlis itu, graduan Sijil Pertanian Malaysia Ahmad Solihin Kamarulzaman dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Pingat Emas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, dan membawa pulang sijil serta piala iringan. – BERNAMA
Graduan ILP Disaran Jadi Ejen Transformasikan Sektor Pertanian Graduan ILP Disaran Jadi Ejen Transformasikan Sektor Pertanian Reviewed by uMieySurianie on October 25, 2015 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.